KUALA LUMPUR – Bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor bakal kembali aktif dalam arena politik berikutan gejala rasuah, perkauman, feudal dan politik takut semakin menjadi serta melampau.
Dalam kenyataannya kepada media semalam bekas Ketua AMK PKR itu berkata, beliau dan rakan akan membuat permohonan baharu agar parti yang hampir dua tahun lalu didaftarkan itu diluluskan bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) .
Katanya, isu rasuah dan kecurian harta negara semakin dipinggirkan dan perasuah besar, kleptokrat kembali bergentayangan serta muncul sebagai hero kononnya demi kepentingan ummah.
“Ramai juga mereka yang bersubahat mengumpul harta haram bersama kleptokrat dahulu, sekarang menyelinap masuk dalam pentadbiran kerajaan baharu dengan alasan kononnya mereka sebelum ini dipaksa.
“Mereka ini ibarat api dalam sekam yang bakal menggagalkan segala usaha kerajaan baharu dan malangnya ini tidak disedari lagi. Jangan sudah terhantuk baru terngadah,” katanya.
Pada Mac 2017, Mohamad Ezam bersama bekas pemimpin akar umbi UMNO, Datuk Khairuddin Abu Hassan mengumumkan akan menubuhkan sebuah parti baharu.
Kata beliau, parti baharunya itu akan memberi tumpuan kepada usaha memerangi rasuah sebagai objektif utamanya.
Bagaimanapun, belum sempat parti itu mendapat maklum balas daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), beliau dan Khairuddin menarik diri dari meneruskan usaha itu.
Menurut Mohamad Ezam, selepas dua tahun dan berlaku pertukaran kerajaan memerintah, beliau akhirnya menyahut seruan dan panggilan perjuangan itu.
Ujarnya, beliau telah memberi isyarat kepada penggerak yang pernah cuba mendaftarkan parti itu dua tahun lalu untuk meneruskan ikhtiar itu dengan membuat permohonan baharu.
“Saya terima banyak saranan dari rakan perjuangan untuk kembali aktif berjuang khususnya meletakkan perjuangan melawan rasuah sebagai perjuangan utama bagi perubahan di negara ini.
“Setiap pejuang anti rasuah tentunya gusar melihat suasana politik negara mutakhir ini. Politik era kuno seperti politik perkauman, politik feudal, politics of fear semakin menjadi-jadi dan melampau.
“Mereka percaya seperti juga saya, isu paling besar negara ini adalah rasuah dan kecurian khazanah negara oleh kelompok elit dan pembesar politik yang telah menelan berbillion ringgit harta negara dan ummah,” katanya.
Beliau mengesakan, keadaan lebih bahaya bagi masa depan negara dan ummah sekiranya perasuah besar kembali mendabik dada menjadi hero kononnya untuk menyelamatkan ummah, sedangkan hakikatnya mereka adalah penjahanam ummah paling besar.
“Saya harap kerajaan baharu akan bersikap lebih terbuka dan mengalu-alukan ikhtiar kami kali ini dan memudahkan proses kelulusan parti baru anti rasuah ini,” katanya. – MalaysiaGazette