Dr Nungsari Ahmad Radhi

KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi muncul sebagai gabungan Singapura dan Dubai dalam industri penerbangan, namun ini sukar direalisasikan disebabkan oleh sistem pengendali lapangan terbang tunggal – amalan yang menjadikan Malaysia ketinggalan dalam usaha untuk menarik lebih banyak syarikat penerbangan.

Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Dr Nungsari Ahmad Radhi menjelaskan, Singapura sebagai contoh, mempunyai permintaan dalam negeri yang kukuh, mencukupi untuk menyokong perniagaan lapangan terbangnya, yang seterusnya menjadi pemangkin pembangunannya sebagai pusat penerbangan.

“Sektor penerbangan Dubai pula didasarkan kepada peranannya sebagai hab transit, yang bergantung pada kesambungan dan keupayaan antara lapangan terbang-lapangan terbangnya, berbanding semata-mata atas permintaan domestik,” katanya.

Malaysia mempunyai gabungan kedua-dua spektrum Singapura dan Dubai, yang mengupayakannya untuk cemerlang atau mampu bersaing dengan lapangan terbang antarabangsa lain sekiranya lapangan terbang domestik menyediakan perkhidmatan dan kemudahan yang lebih baik, terutama bagi penumpang transit, katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

“Kami perlu memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan lapangan terbang dari segi perkhidmatan dan kecekapan, jika mahu menjadi seperti Singapura. Kami mempunyai tugas yang lebih besar untuk membangunkan ekonomi dan berkembang pada tahap yang lebih agresif, supaya boleh memenuhi permintaan domestik yang diperlukan untuk sektor penerbangan.”

Bagaimanapun, isu utama di sini ialah sistem pengendali tunggal semasa, yang tidak ada persaingan, dan menjadikan sektor itu kurang menarik, katanya.

“Lapangan terbang Malaysia, terutama pintu masuknya, tidak beroperasi 24 jam sehari, yang mungkin mencerminkan hakikat bahawa keadaan ini tidak menarik kepada syarikat penerbangan. Ini juga menunjukkan bahawa persaingan juga mungkin bermasalah.”

Pada masa ini, beliau berkata 80 peratus daripada syarikat penerbangan adalah dari Mumbai, India dan Beijing, China.

“Satu lagi sebab ialah lapangan terbang di negara ini hanya beroperasi dalam tempoh yang terhad dan tidak menerima penumpang dari jarak jauh, seperti dari Amerika Utara. Oleh itu, lapangan terbang kurang digunakan,” katanya.

Baru-baru ini, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menandatangani lanjutan perjanjian operasi (OA) sehingga 11 Feb 2069, bagi menggantikan dua OA pengendali yang ditandatangani pada 12 Feb 2009, dengan empat OA baharu – OA untuk KLIA, Sarawak dan lapangan terbang Sabah, serta lapangan terbang terpilih di Semenanjung Malaysia.

Untuk lebih jelas, kerajaan Malaysia merupakan pemilik aset hampir kesemua lapangan terbang komersial di negara ini dan merupakan pemilik tanah, dan berikutan lanjutan OA ini, MAHB akan terus berkhidmat sebagai pengendali lapangan terbang untuk 39 lapangan terbang di seluruh negara sehingga 11 Feb 2069.

Bagaimanapun, idea untuk mempunyai lebih banyak pengendali lapangan terbang di negara ini bukan perkara baharu kerana Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes telah menyuarakan pendapatnya mengenai perkara itu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, lanjutan OA itu adalah untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan, dan ia akan memberi kebebasan kepada MAHB untuk terlibat dengan pelabur, terutama dalam membangunkan infrastruktur dan kemudahan.

OA, yang dijadual dimuktamadkan pada Jun, dijangka menyediakan ruang untuk MAHB merancang pelaburan untuk lapangan terbang, berbanding OA sebelum ini yang memerlukan kerajaan untuk menanggung perbelanjaan modal untuk pengembangannya.

Untuk masa hadapan, Nungsari percaya mengenai perlunya pelan induk atau kerangka yang memberikan arah yang jelas dan unjuran jangka panjang lapangan terbang di Malaysia untuk 30 tahun ke depan.

“Kita tidak boleh membuat keputusan untuk membina sebuah lapangan terbang baharu, tanpa mengambil kira kesalinghubungannya menggunaka n sistem pengangkutan lain, termasuk pengangkutan darat.”

Beliau berkata, MAVCOM bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan dalam rancangan jangka panjang untuk sektor itu, yang akan mempertimbang kesalinghubungan menerusi pelbagai model, kapasiti atau rancangan pengembangan.

“Kami perlu mengoptimumkan perbelanjaan kerana kami kini banyak melabur dalam pengangkutan darat, terutama kereta api di Semenanjung Malaysia. Kami dapat mengoptimumkan perbelanjaan dengan meningkatkan kesalinghubungan.”

Berikutan pertumbuhan trafik penumpang serantau yang semakin meningkat, Nungsari menegaskan pentingnya untuk menentukan model pembangunan lapangan terbang, kerana ia akhirnya akan menentukan lapangan terbang mana yang perlu diperluas atau dipindahkan, supaya akhirnya sejajar dengan pelaburan yang diperlukan untuk tujuan itu.

Beliau juga menjangkakan peraturan akan dilaksanakan untuk tahap jaminan perkhidmatan yang disediakan di lapangan terbang, serta layanan yang adil dan saksama untuk semua syarikat penerbangan kerana faktor-faktor ini telah terbukti di lapangan terbang negara-negara jiran dalam menarik syarikat penerbangan global.

Mengenai Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC), beliau berkata, MAVCOM percaya bahawa PSC harus ditentukan oleh kemudahan yang terdapat di lapangan terbang serta mencerminkan daya tarikan kepada para pelabur.

“MAVCOM menetapkannya (PSC), dan kami mahu membezakan PSC antara lapangan terbang namun kami perlu mencari asas dalam melakukan itu dengan cara yang paling objektif, Untuk itu kami telah membuat penilaian berdasarkan aset terkawal lapangan terbang.

“Pengkajian aset terkendali bertujuan untuk membezakan PSC berdasarkan jenis lapangan terbang serta kualiti, namun akhirnya akan menentukan model pembiayaan lapangan terbang, yang bemakna jika ada rancangan untuk membina lapangan terbang baharu, atau memperluasnya, siapa yang akan menanggungnya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pelan pengembangan lapangan terbang tanpa peruntukan wang kerajaan boleh dijayakan, namun pelabur pastinya akan menuntut peratusan caj yang dibenarkan untuk dikumpul memandangkan jumlah wang yang dilaburkan di lapangan terbang yang sangat besar.

“Pendapatan mereka adalah PSC dan PSC menentukan daya maju pembiayaan lapangan terbang.”

“Sekiranya pelabur swasta menunjukkan minat untuk masuk, mereka perlu tahu berapa banyak yang mereka dapat dan sama ada kerajaan akan mengubahnya. Kita (perlu memastikan ia) adil kepada para pelabur,” katanya. – MalaysiaGazette