LANGKAWI – Equanimity, kapal layar mewah yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan disimpan sementara di jeti Pangkalan Markas Wilayah Laut Tiga (Mawilla 3) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bukit Malut di sini, telah belayar keluar dari pangkalan itu pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kapal itu telah belayar dari pangkalan itu menuju ke Singapura.
“Pada Ahad lepas, kapal Equanimity telah belayar keluar dari jeti pangkalan tersebut menuju ke Singapura pada 2 petang.
“Pergerakan kapal Equanimity tidak diiringi Pasukan Polis Marin disebabkan kapal tersebut telah dimiliki sepenuhnya oleh Genting Malaysia Berhad dan bukan lagi aset kerajaan Malaysia yang diletakkan dibawah kawalan Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.