JOHOR BAHRU – Seorang pekerja kilang rakyat tempatan mengalami luka di dahi dan bibir selepas dipercayai dipukul 10 lelaki akibat perselisihan faham dengan seorang daripada mereka di Plaza Tol Tanjung Kupang, Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.30 malam ketika lelaki berumur 21 tahun itu yang menaiki sebuah motosikal bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke bandaraya ini dari bekerja di Singapura.
“Semasa pengadu dan rakannya berada di Kompleks Sultan Abu Bakar (Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin) dia berselisih faham dengan seorang lelaki tidak dikenali menaiki motosikal dengan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan.
“Selepas itu, semasa pengadu sampai di Plaza Tol Tanjung Kupang pula, dia telah ditahan oleh sekumpulan lebih kurang 10 lelaki dan suspek menunjukkan isyarat lucah serta menjerit-jerit,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Dzulkhairi berkata, pekerja kilang berkenaan terus ke sebuah stesen minyak berhampiran untuk mengisi petrol dan suspek menghampirinya lalu terus memukul pekerja kilang dan rakannya menggunakan topi keledar mengakibatkan pekerja kilang itu luka di dahi dan bibirnya berdarah.
Beliau berkata, rakan pekerja kilang itu tidak mengalami kecederaan dan pekerja kilang tersebut kemudian mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gelang Patah sebelum membuat laporan polis.
Katanya kes berkenaan kini sedang disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh. – Bernama