KUALA LANGAT – Inovasi dan teknologi digital akan menjadi kaedah terkini untuk menangani permintaan terhadap rumah mampu milik dalam waktu terdekat, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) digital, yang merangkumi alat reka bentuk dalam talian, Pemodelan Maklumat Pembinaan (BIM) dalam projek perumahan awam akan membantu kerajaan untuk memenuhi sasaran satu juta unit rumah mampu milik dibina dalam tempoh 10 tahun.
“Saya dimaklumkan IBS digital menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan kita di masa depan, dan langkah memanfaatkan teknologi IBS digital akan membolehkan pemaju membina rumah lebih murah dalam tempoh lebih singkat.
“Ia juga kurang berintensifkan buruh, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing dan aliran keluar modal tahunan,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan kilang digital IBS Gamuda di kawasan perindustrian Bandar Mahkota Banting di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar, Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir, Anggota Lembaga Pengarah Gamuda Berhad Raja Datuk Seri Eleena Sultan Azlan Shah, dan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad Datuk Lin Yun Ling.
Menurut Dr Mahathir, rumah mampu milik serta akses lebih mudah menerusi rangkaian infrastruktur pengangkutan awam (termasuk rel) akan meningkatkan kesalinghubungan dan memacu aktiviti perniagaan dan pertumbuhan ekonomi.
“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan dan strategi bagi perumahan negara.
‘’Selain itu, memanfaatkan teknologi IBS digital tepat pada masanya kerana ia turut mengalami perubahan seiring dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), trend semasa teknologi automasi dan pembuatan yang termasuk pengkomputeran awan dan BIM,” katanya.
Dr Mahathir turut memuji Gamuda Berhad, sebagai perintis dalam mengguna pakai IBS digital di negara ini dengan melabur lebih RM500 juta untuk dua kilang canggih mereka di Sepang dan Banting.
Beliau berkata langkah Gamuda untuk membangunkan IBS digital bukan sahaja membantu kerajaan untuk membina rumah mampu milik tetapi juga menetapkan trend dalam meningkatkan dan mengubah kaedah pembinaan.
“IBS digital akan menghasilkan pembinaan lebih pantas, pengurangan ketara kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor pembinaan dan penggunaan tenaga kerja tempatan dalam sektor pembinaan Malaysia; dan kualiti tinggi.
‘’Saya dimaklumkan bahawa rumah mampu milik akan dibina pada standard yang sama dengan rumah mewah. Ini merupakan jenis teknologi disruptif yang negara perlukan lebih banyak lagi,” katanya.
Dr Mahathir berkata, sama seperti negara membangun lain, satu daripada keutamaan kerajaan adalah untuk menyediakan bekalan rumah mampu milik yang mencukupi untuk memastikan kesejahteraan dan peningkatan mobiliti rakyat Malaysia.
Komitmen seumpama itu adalah amat penting jika kerajaan berhasrat untuk membantu rakyatnya yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah untuk mempunyai tempat tinggal yang selesa di lokasi betul untuk mereka mendapatkan pekerjaan atau peluang ekonomi lain, katanya.
Menurut Dr Mahathir, ini akan meningkatkan status sosial-ekonomi mereka dan akan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sihat untuk negara.
“Dasar Perumahan Negara (2018-2025) fokus pada isu sosial di kawasan perumahan di peringkat komuniti setempat, terutamanya di kawasan perumahan kos rendah berstrata di seluruh negara dan perlukan agensi berpusat untuk menyelaraskan usaha itu.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di bawah Dasar Perumahan Negara menyasarkan untuk membina sebanyak 100,000 unit rumah mampu milik dengan modal RM300,000 menjelang akhir tahun ini.
“Ini seiring dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan untuk membina satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh dekad akan datang,” katanya.
Kilang digital IBS Gamuda di Banting di kawasan seluas 27 hektar merupakan kilang IBS terbaru di negara ini, menggabungkan alat reka bentuk dalam talian, platform BIM, dan mesin robotik bagi pembinaan bangunan. – MalaysiaGazette