Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bersalaman ketika hadir pada Perasmian Jualan Buku Mes PDRM Pada Era 100 Tahun di Menara 1 Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 02 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Dengan wajah tenang dan ceria, Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun melahirkan rasa gembira ketika disoal tentang persaraan beliau yang bermula rasmi Sabtu ini.

Mohamad Fuzi, hari-hari yang beliau lalui masih seperti biasa malah KPN memohon maaf di atas kelewatan tiba pada majlis hari ini kerana terpaksa bertemu dengan ramai orang yang menunggu beliau.

“Saya tidak rasa apa-apa sebenarnya. Saya ok. Tidak ada apa-apa yang baharu. Ramai masih lagi mahu bertemu dengan saya seperti biasa, saya mohon maaf kerana lambat kerana ramai tunggu sebentar tadi.

“Saya berterima kasih juga kepada semua yang memberikan sokongan kepada saya selama ini,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Terdahulu, Mohamad Fuzi juga sempat membetulkan media dengan memberitahu persaraan beliau sebagai KPN yang ke-11 itu bukan pada hari ini, sebaliknya pada hari Sabtu, 4 Mei ini.

Mohamad Fuzi juga sempat bergambar dan berbual mesra dengan para pengamal media yang rata-ratanya biasa hadir sidang media beliau sebelum ini.

Sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi pernah memegang jawatan Pengarah Cawangan Khas, Pengarah Pengurusan, Pengarah Pasukan Petugas Khas (Counter Terrorism) Bukit Aman.

Beliau menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar pada tahun 2017.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi mendedahkan beliau akan mengadakan perbincangan dengan Datuk Abdul Hamid Bador dan juga Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abd. Rahim Jaafar untuk menentukan individu yang akan menjawat jawatan Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN).

“Dalam perbincangan itu nanti, bukan sahaja jawatan TKPN, malah jawatan Pengarah Cawangan Khas dan jawatan penting lain yang mempunyai kekosongan juga akan dibincangkan.

“Persiapan untuk proses ini sedang dilaksanakan,” jelasnya.

Terdahulu, Bernama yang memetik sumber menyatakan antara nama-nama yang disebut sebagai TKPN ialah Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

Semalam, pada sidang media selepas Sambutan Hari Pekerja 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, nama yang dicadangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk jawatan Ketua Polis Negara telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ya, saya fikir dia (Abdul Hamid Bador) akan jadi IGP (KPN-Ketua Polis Negara),” kata Perdana Menteri.

Jika Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Polis Negara, ia seolah-olah memenuhi tradisi kepimpinan tertinggi PDRM yang menyaksikan kebanyakan jawatan itu diisi oleh pegawai tertinggi daripada Cawangan Khas.

Ia dapat dilihat daripada bekas KPN ketiga iaitu Tan Sri Abdul Rahman Hashim, bekas KPN keempat, Tun Mohammed Hanif Omar, bekas KPN kelima Tan Sri Abdul Rahim Noor serta bekas KPN keenam Tan Sri Norian Mai.

Kecuali bekas KPN pertama Tan Sri Sir Claude Fenner, bekas KPN kedua, Tun Mohamed Salleh Ismael, bekas KPN ketujuh Tan Sri Mohd Bakri Omar dan bekas KPN kesembilan Tan Sri Ismail Omar yang bukan daripada kepimpinan Cawangan Khas. –MalaysiaGazette