Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin beramah mesra dengan Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Negara Baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Dewan Tan Sri Khalid Abu Bakar, PULAPOL, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 03 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam esok yang digerakkan oleh UMNO dan Pas menerusi Gerakkan Pembela Ummah (Ummah) hanya gimik politik untuk memburukkan imej kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pertubuhan berkenaan cuba mencertuskan provokasi sedangkan negara sentiasa berada dalam keadaan selamat dengan berpegang kepada apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu melindungi Islam dan menyanjung usaha yang menyanjung Islam dan penganutnya.

Katanya kerajaan tidak ada masalah jika perhimpunan itu dianjurkan dengan aman mengikut Akta Perhimpun Aman 2012 tanpa mencetuskan sebarang masalah namun rancangan untuk berhimpun atas pandangan kedudukan Islam sudah terancam adalah sesuatu yang menghairankan.

“Ada sesiapa di sini rasa Islam terancam sila angkat tangan. Seorang pun tidak ada, jadi sengaja perhimpunan dibuat untuk provokasi.

“Malah setakat ini tidak ada bukti menunjukkan Islam terabai ataupun tidak diberi apa-apa perhatian dan seolah institusi agama Islam yang terbentuk sudah diruntuhkan PH ketika ini. Inilah gambaran gimik politik mereka yang tidak ada modal lagi.

“Ia dibuat supaya atas dasar agama maka akan ada orang keliru dan terikut-ikut sedangkan hakikat tidak begitu,” ujarnya pada sidang media pelantikan Ketua Polis Negara baharu, Datuk Seri Abdul Hamid Bador shari ini.

Tambah beliau, sekiranya gerakan itu mahu membela dan memperjuangkan Islam, mereka tidak patut menghilangkan diri apabila timbul isu Tabung Haji dan juga Felda yang mengalami krisis kewangan yang kritikal.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu juga menasihatkan penganjur perhimpunan berkenaan supaya tidak melakukan provokasi untuk menarik perhatian dan menjejaskan imej PH seolah kerajaan sekarang tidak dilihat sebagai pelindung kepada Islam.

Sementara itu, Muhyiddin enggan mengulas mengenai kenyataan Mufti Perlis Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang menyatakan suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini.

“Saya tak rasa terancam (Islam), agama Islam adalah agama saya, saya buat apa yang terbaik untuk memelihara institusi Raja, bahasa Melayu, serta agama Islam sebagai agama rasmi seperti mana termaktub dalam Perlembagaan, tak berganjak dari awal lagi.

“Saya tidak akan reda melihat kalau ada usaha merobak-rabikkan kewujudan Islam dalam apa cara sekali pun. Mereka cuba mencetuskan tipu muslihat sebagai menunjukkan kerajaan sekarang lemah,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast