Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik membaca buku bersama sebahagian anak yatim dari Yayasan Anak-anak Yatim Pinggir Taman Tun Dr Ismail dan Trinity Community Children Home pada Majlis Pelancaran Iklan Kempan Malaysia Membaca di TGV Jaya Shopping Centre, Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 03 MEI 2019

PETALING JAYA – Sektor swasta digesa membantu kerajaan menjadikan tabiat membaca dan pendidikan sebagai satu agenda nasional.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, langkah itu bukan sekadar memberi sumbangan buku sebaliknya, dengan menyokong usaha yang dilakukan oleh kerajaan terhadap perkara tersebut.

“Kita berharap rakan sektor swasta akan turut sama menyumbang kepada agenda membaca dan perbukuan.

“Bukan sekadar sumbangan buku, tetapi juga bantuan menjadikan tabiat membaca dan pendidikan satu agenda nasional,” katanya ketika berucap melancarkan iklan ‘Malaysia Membaca’ di sini hari ini.

Menurut Maszlee, konsep membaca mempunyai persamaan dengan seorang adiwira.

Katanya, membaca merupakan pilihan untuk seseorang selamat daripada dunia kegelapan.

Tambah beliau, membaca juga adalah satu langkah untuk membebaskan diri daripada penjajahan kejahilan.

“Begitulah juga dengan kehadiran seorang adiwira, mereka hadir dengan tujuan untuk menyelamatkan kita daripada dunia kegelapan.

“Tanpa adiwira, kita mungkin telah tersesat dalam lembah kejahatan yang tak dapat kita sendiri bayangkan.

“Dan tanpa membaca, kita akan tersesat di dalam lembah kejahilan dan ketidaktahuan yang sangat bahaya,” ujarnya.

Kempen minat membaca dilancarkan Kementerian Pendidikan dengan tujuan meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia menerusi pawagam di seluruh negara.

Ia juga merupakan satu langkah menjalinkan kerjasama korporat bersama penaja seperti MPH Bookstores untuk menderma bahan bacaan kepada rumah anak yatim. – MalaysiaGazette