Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik (tengah) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Syed Md Najib Syed Md Noor (dua kanan) dan Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Sakri Abdullah (kanan) pada gimik pelancaran Sudut Membaca Buku ITMB di Pos Malaysia pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik ITMB - Pos Malaysia Sempena #MALAYSIAMEMBACA di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 06 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disarankan supaya terus proaktif dalam menghasilkan lebih banyak penerbitan karya dan buku yang berkualiti dan standard antarabangsa.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, ia adalah inisiatif dan menjadi impian beliau menaikkan taraf DBP setaraf dengan Goethe Institute di Jerman yang popular dalam mengembangkan bahasa dan budaya negara itu menerusi penerbitan karya-karya berkualiti.

“Saya rasa lebih 10 kali di Dewan Rakyat menyebut citra dan misi saya untuk menjadikan DBP setaraf dengan Goethe Institute dan juga British Council dan lain-lain lagi.

“Tapi saya nampak DBP masih merangkak dan tidak ‘berlari’ dengan saya punya rentak ke arah mencapai misi itu.

“Saya harap DBP dapat lari seiring saya. Saya tidak mahu kata-kata saya terbenam di dalam catatan-catatan hansard Dewan Rakyat dan DBP perlu berani ke hadapan,” katanya ketika berucap pada majlis  Pelancaran kerjasama Strategik Institut Terjemahan Buku Malaysia dan Pos Malaysia sempena #MalaysiaMembaca di Pejabat Pos Besar di ibu negara.

Katanya di Jerman, Goethe Institue diwujudkan untuk mempromosi dan mengembangkan bahasa, budaya, buku, sastera, pendidikan, muzik, filem dan seni Jerman secara meluas dengan kerjasama jitu lebih 200 syarikat swasta antaranya BMW, Volkswagen, Mercedes Benz, Siemens, Deutsche Bank dan Deutsche Telekom.

“Institut itu juga mempunyai 159 pejabat di 98 buah negara seluruh dunia selepas beroperasi sejak 60 tahun lalu,” ujarnya.

Ditanya pada sidang media peranan Kementerian Pendidikan membantu DBP mencapai misi tersebut, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, pihaknya akan mempergiatkan kerjasama dengan DBP.

Sementara itu, Maszlee menafikan  Institut Terjemahan dan  Buku Malaysia (ITBM) akan ditutup.

“Itu (ITBM akan ditutup) kena tanya media yang laporkan itu, setahu kita ITBM semakin berkembang, mereka jalin kerjasama sekarang dengan Pos dan menjalankan usaha menyediakan bahan bacaan sebagai menyemarakkan tabiat membaca dalam kalangan rakyat kita,” katanya.

Sebagai permulaan katanya, ITBM akan menyediakan bahan bacaan dan khidmat penterjemahan ITBM secara berperingkat di 13 pejabat Pos Malaysia di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kemudian kemudahan ini akan diperluaskan ke cawangan cawangan kecil setiap daerah dan kawasan pedalaman untuk memudahkan rakyat dan anak anak mudah memperolehi buku bacaan yang menanfaatkan ilmu pengetahuan dan kreativiti mereka,” tambah beliau. – MalaysiaGazette