Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir pada hari ke-14 perbicaraan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Panel Pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) akan menolak pinjaman yang dicadangkan sebanyak RM3.95 bilion kepada SRC International Sdn. Bhd. jika mereka mempunyai pilihan.

Bagaimanapun bekas Penolong Naib Presiden KWAP (Jabatan Pendapatan Tetap), Amirul Imran Ahmat memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, kenyataan itu cuma pendapat peribadinya sahaja.

Saksi ke-29 kes perbicaraan bekas Perdana Menteri itu berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Datuk Seri Najib Razak, Harvinderjit Singh.

Amirul Imran turut bersetuju beliau tidak boleh bercakap bagi pihak panel pelaburan KWAP.

“Panel akan menolak jika mereka mempunyai pilihan,” katanya pada kes perbicaraan yang memasuki hari ke-14 hari ini.

Sementara itu, suasana bertukar ceria seketika apabila Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ishak Mohd Yusoff meminta Amirul Imran untuk mengenal pasti bekas pengarah SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.

Orang ramai dalam galeri ketawa apabila foto Nik Faisal diserahkan kepada saksi yang pernah bekerja di KWAP itu.

Difahamkan sehingga kini, bekas pengarah itu tidak dapat dikesan di mana berada oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd. Nazlan Mohd Ghazali. – MalaysiaGazette