KUALA LUMPUR – Peranan polis di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara (KPN) yang baharu diharapkan dapat diperkasa bagi menghadapi cabaran keselamatan dan ketenteraman awam.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, sebagai wakil rakyat, beliau mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah pelantikan Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebagai KPN untuk tempoh dua tahun berkuatkuasa 4 Mei lalu.
“Saya menaruh harapan yang tinggi agar peranan kepolisan dapat diperkasakan lagi di bawah kepimpinan KPN yang baharu bagi menghadapi cabaran keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam.
“Juga menghadapi sindiket jenayah terancang, jenayah komersial dan membantu pelaksanaan dan penguatkuasaan perintah Mahkamah Syariah di negeri yang sangat memerlukan kepada kerjasama erat daripada polis,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Katanya, beliau akan menyokong jika ada cadangan tambahan keanggotaan melalui lantikan baru pegawai dan anggota polis seperti pegawai penyiasat supaya seiring dengan keperluan semasa.
Dalam masa sama katanya, kualiti keanggotaan perlu sentiasa dipertingkatkan agar pegawai yang ada turut mempunyai kelayakan dalam bidang berkaitan penguatkuasaan syariah bagi memudahkan kerjasama kedua-dua agensi terbabit.
“Ini dapat membantu usaha penguatkuasaan undang-undang syariah di peringkat negeri.
“Saya harap pelantikan kepimpinan kanan polis yang baharu ini dapat memacu pasukan keselamatan ini lebih maju jaya, di samping membuat persiapan sewajarnya agar pemerkasaan undang-undang syariah melalui kerjasama strategik antara polis dan pihak berkuasa agama diperkukuhkan,” katanya. – MalaysiaGazette