Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (kanan) melihat pemeriksaan kenderaan bercermin gelap oleh seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas sidang media mengenai pindaan ke atas peraturan penggunaan cermin gelap pada kenderaan motor di Kementerian Pengangkutan, Presint 4, Putrajaya. foto NOOREEZA HASHIM, 07 MEI 2019.

PUTRAJAYA – Kenderaan persendirian akan diberi kelonggaran peraturan penggunaan cermin gelap penumpang belakang mulai esok.

Menerusi peraturan bahari itu, pemilik kenderaan persendirian dibenarkan menggunakan cermin gelap sepenuhnya di bahagian penumpang dan cermin belakang.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bagaimanapun tahap penggunaan lapisan filem pada cermin hadapan, sisi kiri dan kanan cermin pemandu tidak boleh kurang daripada kadar ketelusan cahaya tampak yang ditetapkan iaitu masing-masing 70 peratus dan 50 peratus.

Menurutnya, peraturan sedia ada menetapkan kadar ketelusan cahaya tampak bahagian cermin depan adalah 70 peratus, bagi cermin sisi kiri dan kanan pemandu adalah 50 peratus manakala cermin sisi kiri dan kanan serta cermin belakang penumpang adalah 30 peratus.

cermin gelap

“Pindaan telah dibuat bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dalam proses pertimbangan ke atas permohonan menggunakan cermin yang lebih gelap di samping menyumbang kepada meningkatkan hasil kerajaan,” katanya dalam sidang media khas di ibu pejabat kementerian tengahari tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Kenderaan e-hailing termasuk perkhidmatan Grab yang menggunakan kenderaan persendirian juga boleh menikmati peraturan baharu itu selepas kerajaan mengambil kira permintaan orang ramai.

Tambah Anthony, peraturan baharu itu tidak digunapakai untuk kenderaan pengangkutan awam dan kenderaan barangan perdagangan, komersial termasuk teksi.

Kenderaan terbabit tidak boleh kurang daripada 70 peratus ketelusan cahaya tampak untuk cermin hadapan dan sisi kiri dan kanan pemandu kecuali cermin sisi kiri dan kanan serta cermin belakang boleh kurang 70 peratus dan 30 peratus ketelusan cahaya tampak.

Anthony berkata, kenderan yang mempunyai cermin gelap diberi tempoh selama tiga bulan untuk mengubahsuai cermin mereka mengikut spesifikasi baharu.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan itu berkata, pemilik kenderaan yang membuat permohonan untuk menggunakan lapisan filem gelap atau cermin gelap akan dikenakan fi sebanyak RM50 atau faktor keselamatan dan kesihatan.

Tambahnya, yuran sebanyak RM5,000 pula akan dikenakan bagi setiap permohonan yang lulus namun tiada yuran dikenakan untuk permohonan yang dikemukakan atas sebab kesihatan. – MalaysiaGazette