Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap semasa forum Analysis and Recommendation on Preventing Political Patronage and Corruption in Malaysia di Aloft Kuala Lumpur Sentral, Brickfields. foto MUHAMMAD ZULHAIRI, 21 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan beliau tidak akan menggunakan ahli keluarga untuk mewakilinya pada majlis-majlis rasmi.

Beliau akhirnya bersuara selepas isu kehadiran abangnya, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman ke Grand Final sesi kelayakan e-sukan Sukan SEA peringkat kebangsaan di Central i-City, Shah Alam pada Sabtu lalu menjadi pertikaian.

“Ia salah sebab ia (dakwaan itu) tidak betul.

“ESM (Persatuan Sukan Elektronik Malaysia) telah keluarkan kenyataan dan perbetulkan dakwaan ini. Dia (Syed Abdullah) datang tak dijemput, tetapi bila dikenali diajak ke depan. Tak perlu pun any special treatment (sebarang layanan istimewa).

“Saya tidak akan membenarkan keluarga saya mewakli saya. Ini salah,” katanya menerusi Twitter.

Semalam ESM dalam satu kenyataan berkata, Syed Abdullah tidak mewakili adiknya, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Kehadiran abang Menteri Belia dan Sukan itu sebaliknya dikatakan atas kapasiti peribadi. -MalaysiaGazette