Saksi yang merupakan Pegawai Penyiasat Bank Negara Malaysia (BNM), Ahmad Farhan Sharifuddin (kanan) ketika hadir perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Ambank pernah didenda berikutan kegagalan institusi berkenaan menghantar Laporan Transaksi Meragukan (STR) kepada bank pusat mengenai transaksi meragukan yang melibatkan akaun Datuk Seri Najib Tun Razak.

Berikutan itu, saksi keempat, pegawai Bank Negara Malaysia (BNM), Ahmad Farhan Sharifuddin yang dipanggil semula untuk memberi keterangan pada hari ini turut mengakui bekas Perdana Menteri itu tidak dimaklumkan tentang sebarang aktiviti mencurigakan berhubung akuannya sebelum ini.

Peguam bela yang melakukan soal balas, Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah bertanyakan kepada Ahmad Farhan seandainya Najib telah dimaklumakan tentang laporan mencurigkan dalam akaun beliau.

Kata Ahmad Farhan, terdapat peruntukan dalam Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) yang tidak membenarkan amaran mengenai transaksi yang mencurigakan dimaklumkan kepada Najib tentang aktiviti tersebut.

Muhamad Shafee kemudian melontarkan persoalan seandainya Ambank bertindak melaporkan transaksi mencurigakan berlaku dalam akuan anak guamnya adakah kemungkinan besar semua ini dapat dielakkan.

Ahmad Farhan berkata, beliau tidak tahu dengan mengatakan dirinya hanya bertanggungjawab menyiasat tentang transaksi mencurigakan sahaja.

Terdahulu, Harvinderjit Singh juga bertanyakan kepada Ahmad Farhan adakah Ambank didenda kerana kegagalan menghantar STR ke bank pusat.

Harvinderjit: Dalam siasatan anda, adakah bank itu didenda?

Farhan: Ya, betul.

Harvinderjit: Oleh kerana ia berkaitan langsung dengan siasatan anda, apakah pelanggaran itu dilakukan oleh Ambank Cawangan Raja Chulan?

Farhan: Ini berkaitan dengan kesalahan gagal mengemukakan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR) ke atas akaun Datuk Seri Najib Razak.

Harvinderjit: Bagi urus niaga apakah itu?

Farhan: Saya tidak dapat menyatakan secara terperinci tentang transaksi itu.

Harvinderjit: Adakah ianya sebelum atau selepas 2013?

Farhan: Transaksi itu bermula dari pembukaan hingga penutupan akaun. Semua transaksi hanya dalam tempoh tersebut.  MalaysiaGazette