Mahathir Mohamad
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap semasa temubual khas di Bangunan Perdana Putra (PMO), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 06 MEI 2019

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim bebas untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan terbaik selepas dilantik menjadi perdana menteri kelak.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Anwar tidak perlu mengikut arahan beliau atau meneruskan dasar yang telah dimulakannya.

“Saya telah berjanji untuk meletak jawatan dan memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dan ianya adalah sesuatu yang agak muktamad.

“Tiada lagi yang perlu diperkatakan mengenai siapa atau apa yang perlu dilakuan dan apabila seseorang itu mengambil alih (kuasa) daripada saya, beliau tidak perlu mengikut arahan saya atau mengikut apa yang telah saya lakukan,” katanya semasa tembual khas sempena ulang tahun pertama Kerajaan Pakatan Harapan di sini Isnin, lalu.

Anwar semasa berceramah di Tanah Merah, Kelantan baru-baru ini berkata, beliau akan meneruskan usaha yang telah dimulakan kerajaan termasuk dasar-dasar yang telah dibuat semasa pentadbiran Dr. Mahathir.

Dalam manifesto Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu meletakkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk tempoh dua tahun sebelum mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri kelapan.

Kedua-dua tokoh politik itu diketahui mempunyai sejarah yang panjang termasuk pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Dr. Mahathir pada 1998 sehingga mencetuskan sebuah gerakan reformasi besar-besaran dan penubuhan PKR.

Selepas 20 tahun berlalu, kedua-duanya memadam api persengketaan dan berkongsi platform politik yang sama dengan menubuhkan gabungan parti-parti politik pembangkang di bawah payung Pakatan Harapan.- MalaysiaGazette