sdr

KLANG – Kemelut air yang melanda penduduk daerah Klang akibat tiga paip utamanya pecah pada Ahad lalu bagaikan tiada tanda noktah.

Sehingga hari ini, orang ramai masih ke hulu ke hilir mencari bekalan air bersih di merata-rta tempat.

Lori tangki air yang digerakkan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) hingga mencecah 74 jentera kelihatan masih tidak mampu menampung keperluan isi rumah khususnya dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang.

Kampung Delek, Kampung Sungai Udang, Kampung Sungai Sireh, pangsapuri Sri Perantau, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Keretapi antara kawasan yang terjejas teruk akibat krisis air tersebut.

Pusat Khidmat Pas Selat Klang
Orang ramai berpusu-pusu mengambil bekalan air bersih yang disediakan Pas Selat Klang dan Jabatan Amal Malaysia Pusat Khidmat Pas Selat Klang, Teluk Gadong, Klang. Foto NIZAM ZAIN

Bagaimanapun krisis air yang disifatkan antara paling teruk sejak 23 tahun lalu di sini sebenarnya mampu ditangani kerajaan Selangor yang terkenal sebagai negeri paling maju di Malaysia.

Menurut bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Selat Klang, Dr. Halimah Ali, ketika beliau menjadi wakil rakyat di situ, beliau sendiri pernah berdepan dengan krisis air di Pulau Ketam.

Ketika itu paip utama yang menghubungkan Pulau Ketam yang terletak dalam dasar laut terputus mengakibatkan penduduknya terputus bekalan air bersih sehingga sebulan.

Katanya, insiden itu bukan sesuatu pengakhiran, sementara kerja-kerja baik pulih itu selesai, beliau tidak duduk diam sebaliknya mengarahkan bekalan air bersih dihantar kepada penduduk Pulau Ketam menggunakan pengangkutan laut.

“Semasa saya jadi ADUN Selat Klang, cabaran paling besar menghantar bekalan air bersih kepada penduduk Pulau Ketam menaiki kapal laut dari jeti pelabuhan Star Cruise.

“Kalau nak dibandingkan krisis air sekarang, masa itu lagi mencabar kerana saya terpaksa berulang-alik menghantar air ke Pulau Ketam hingga terpaksa menggunakan kren.

“Kalau 10 tahun dulu saya boleh lakukan, kenapa tidak sekarang dan saya akan terus membantu rakyat di sini walaupun bukan lagi wakil rakyat,” katanya.

Pusat Khidmat Pas Selat Klang
Orang ramai berpusu-pusu mengambil bekalan air bersih yang disediakan Pas Selat Klang dan Jabatan Amal Malaysia Pusat Khidmat Pas Selat Klang, Teluk Gadong, Klang. Foto NIZAM ZAIN

Halimah turut melahirkan rasa hairan terhadap pengagihan bekalan air bersih yang perlahan sedangkan Kerajaan Negeri Selangor mempunyai keupayaan lebih daripada itu.

“Kerajaan Negeri Selangor boleh saja kerahkan jentera pihak berkuasa tempatan untuk membantu mengagihkan air ke semua kawasan terjejas.

“Ini tidak, saya tengok ramai mengeluh malah ada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) terpaksa keluar rumah mencari air dalam keadaan uzur,” katanya.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu menegaskan perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku dan Kerajaan Negeri boleh saja mengerahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sekiranya lori tangki masih tidak mencukupi untuk pengagihan bekalan air bersih.

“Kerajaan Negeri Selangor sebenarnya lebih mampu tapi sebaliknya berlaku, kita yang bukan kerajaan pun mampu sediakan air bersih untuk rakyat.

“Sejak dua hari lalu Pas dan Jabatan Amal Malaysia sediakan tangki air di Pusat Khidmat Pas Selat Klang, ramai juga datang ambil air di sini.

“Ramai merungut kepada saya malah ada yang datang dari Kapar untuk mengambil air di sini kerana lori tangki air Syabas tidak masuk kawasan mereka,” katanya.

Ditanya tentang sumber air yang diperolehi Jabatan Amal Malaysia, Halimah berkata pada permulaan bekalan air bersih diambil di Shah Alam tapi kini di kawasan Lipat Kijang, di sini.

“Kita mengerahkan lebih 30 anggota Jabatan Amal Malaysia dan mereka silih berganti membantu mendapatkan air dengan bantuan pelbagai pihak yang menyumbang termasuk perkhidmatan lori dan tangki air,” katanya.

Katanya lagi, Pas beruntung kerana ramai sudi menjadi sukarelawan membantu penduduk terjejas dan tugas membawa air bukan perkara mudah.

“Kebanyakan mereka ini adalah hasil keluaran program SPIES yang saya perkenalkan ketika saya menjadi Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan.

“Mereka bukan saja boleh mengagihkan air bahkan mampu melakukan tugas-tugas bomba termasuk menangkap ular,” katanya lagi. – MalaysiaGazette