Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Apabila kerajaan mengumumkan kos guaman untuk kes kapal mewah Equanimity berjumlah RM2 juta dari keseluruhan kos berjumlah RM15.5 juta memperlihatkan Tommy Thomas tidak layak menjadi Peguam Negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kos guaman RM2 juta ini dianggap terlalu tinggi lebih-lebih lagi keputusan kes ini adalah secara penghakiman mungkar (default judgment) iaitu tiada sebarang perbicaraan.

“Ramai yang masih ingat apabila Peguam Negara mengumumkan untuk melantik peguam luar, Peguam Sitpa dari firma guaman milik Tommy Thomas mewakili kerajaan, ramai mempersoalkan tindakan tersebut lebih-lebih lagi mengenai kos guaman.

“Namun Peguam Negara menjelaskan, tiada sebarang bayaran akan dikenakan kepada kerajaan atau pro bono namun terkini kerajaan terpaksa menanggung kos RM2 juta yang dianggap terlampau tinggi berbanding dengan kesukaran mengendalikan kes tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, sejak dari awal ramai yang mempersoalkan kenapa perlu dilantik peguam luar dan apakah Peguam Negara tidak mempunyai kemampuan dan keyakinan untuk mengendalikan sendiri kes berkenaan.

Seperti yang diketahui, peguam-peguam di Jabatan Peguam Negara (AGC) mempunyai peguam-peguam yang kompeten dan pakar di dalam semua cabang perundangan termasuk undang-undang kelautan antarabangsa dan lain-lain.

“Jadi kenapa perlu ambil peguam luar?

Jika pun kurang yakin, Peguam Negara perlu mendapat nasihat atau pandangan perundangan dari peguam pakar.

“Malah jika peguam negara atau peguam-peguam AGC kurang yakin, mereka masih boleh menjemput mereka untuk membantu mereka sewaktu perbicaraan.

“Dengan cara ini, perbicaraan masih dijalankan oleh peguam AGC dan kos guamannya jauh lebih rendah dan pastinya bukan RM2 juta,” katanya.

Apa yang jelas, dari kes itu adalah Peguam Negara tidak layak menjadi Peguam Negara lagi kerana ketidakmampuan beliau bertindak sebagai Peguam Negara, kata Ismail Sabri.

Beliau tidak mampu mengendalikan kes untuk mewakili kerajaan dan bukan kes ini sahaja tetapi juga di dalam kes-kes jenayah lain seperti kes yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak dengan melantik peguam luar untuk mengendalikannya.

“Akibat ketidakmampuannya kerajaan terpaksa membayar kos guaman yang terlalu tinggi ie RM2 juta untuk bayaran guaman kes kapal Equanimity ini.

Peguam Negara juga memalukan AGC kerana tidak meyakini peguam-peguam di bawah beliau sendiri malah yang mengecewakan apabila berbohong mengatakan pro bono tetapi akhirnya kos guaman tetap dikenakan, katanya.

“Saya berpandangan di atas kelemahan Peguam Negara, maka Peguam Negara perlu mengambil tanggungjawab ini dengan meletakkan jawatan beliau sebagai Peguam Negara atau Perdana Menteri memastikan Yang Dipertuan Agong untuk menggugurkan beliau dari jawatan peguam negara.

“Malah banyak kesilapan-kesilapan yang dilakukan beliau telah memalukan kerajaan seperti kegagalan menasihatkan kerajaan sehingga kerajaan menandatangani Statut Rom yang akhirnya kabinet membatalkannya.

Menurut Ismail Sabri, ramai mempersoalkan apakah Tommy menarikbalik tuduhan rasuah terhadap Lim Guan Eng kerana menerima arahan dari kerajaan.

Peguam Negara mesti menjelaskannya kepada rakyat.
Kesimpulannya di atas kelemahan dan ketidakmampuanpeguam Negara maka kerajaan terpaksa menanggung kos guaman yang terlalu tidak menasabah dan menanggung malu dengan membuat u-turn dalam kes-kes tertentu.

Untuk itu, Peguam Negara perlu berhenti atau diberhentikan, katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast