SANDAKAN – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tertubuh atas fitnah, penghinaan dan juga janji palsu wajar ditolak.
Jadi, tarikh 11 Mei ini adalah peluang terbaik kepada rakyat di Sandakan menunjukkan referendum menolak kerajaan PH.
Itu Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan semasa berucap membantu kempen PRK Sandakan dengan menyokong calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Linda Tsen Thau Lin malam tadi.
Kata Mohamad, Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan adalah ruang untuk rakyat menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap PH sebagaimana yang telah berlaku di tiga PRK lalu iaitu Parlimen Cameron Highlands, DUN Semenyih dan DUN Rantau.
“Percayalah, sesuatu yang berlaku atas fitnah dan penipuan tidak akan kekal,“ katanya dipetik dari UMNO Online hari ini.
Ujarnya, sikap pemimpin PH terutamanya DAP yang kini sombong telah ditolak oleh rakyat.
“Lihat di PRK Cameron Highlands, DAP begitu yakin untuk menang, namun kerana kesombongan yang teramat sangat rakyat telah tolak mereka.
“Mereka tak mahu dengar cakap orang, lihatlah apa yang berlaku sekarang ini apabila pemimpin DAP memegang menteri kewangan, ekonomi negara kita jatuh paling teruk berbanding dengan semua negara Asia malah Bursa Saham kita jatuh paling teruk di seluruh dunia,” katanya.
Dasar-dasar yang dibuat oleh PH juga membuat rakyat saling berasa curiga kerana ada dalam kalangan menterinya sendiri yang menghasut minda orang Malaysia sedangkan selama ini semua bangsa dan agama boleh hidup sejahtera bersama.
“Selam ini kita dapat hidup bersama-sama tetapi hari ini antara bangsa-bangsa lain sudah ada sikap saling mencurigai kerana apa yang ditanamkan oleh PH,” katanya.
Menurut Mohamad, sikap PH juga sering menggunakan fitnah dan memburuk-burukkan pihak lain termasuklah membuat pelbagai tuduhan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Walaupun setelah lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dan 13 kali menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) tapi dalam PRU-14 lalu BN kalah…ini proses demokrasi berjalan dengan lancar dan BN menghormati keputusan ini.
“Peralihan kuasa berjalan dengan lancar dan berlangsung dengan begitu baik sekali, namun saya yakin jika PH tewas dalam PRU lalu, saya pasti sampai hari ini agaknya… satu tahun mereka akan terus berdemonstrasi di jalanan melahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap sistem demokrasi yang diurus oleh SPR. Mereka menghina, memfitnah dan mengeji proses yang dijalankan oleh SPR.
Tegasnya yang juga ADUN Rantau, kalau betul BN boleh tentukan keputusan pilihan raya maka tentunya BN hari ini terus memerintah tetapi ini tidak pula mereka laporkan.
“Tuduhan-tuduhan dan fitnah-fitnah yang mereka lemparkan kepada BN sudah jadi kebiasaan kepada mereka sehinggakan hari ini mereka tak tahu nak buat apa apabila menjadi kerajaan…sudah terbiasa dengan fitnah.
“Saya yakin bahawa rakyat telah pun sedar termasuklah pengundi di sini, maka ini peluang untuk menolak PH dengan memilih calon PBS,” katanya lagi.
Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya Datuk Stephen Wong Tien Fatt, 65, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Pengerusi DAP negeri, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu. – MalaysiaGazette