MELAKA – Kerajaan negeri Melaka menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) memastikan pelaksanaan sistem meter pintar termasuk aspek aplikasi ‘myTNB’ berfungsi dengan sempurna, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.
Beliau berkata langkah itu bertujuan memudahkan pengguna khususnya rakyat negeri itu memantau penggunaan tenaga elektrik mereka melalui telefon pintar seterusnya dapat membantu rakyat menjimatkan penggunaan elektrik mereka.
“Kita melihat terdapat beberapa masalah yang perlu diberi perhatian oleh TNB seperti paparan penggunaan di aplikasi myTNB tidak sama dengan di meter selain aplikasi berkenaan didakwa sering mengalami gangguan dan sukar diakses,” katanya pada sidang akhbar Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di sini, hari ini.
Semalam, Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Negeri Melaka Ahmad Rezahan Mohammad dilaporkan sebagai berkata pihaknya ambil maklum berkaitan isu bil tinggi serta aduan lain dihadapi segelintir pengguna meter pintar dan akan mengkredit semula lebihan caj pengguna meter pintar di negeri ini ke dalam bil elektrik pengguna tersebut sekiranya semakan mendapati berlaku lebihan caj.
Adly berkata kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menghentikan penggunaan meter pintar itu dan kembali ke meter lama, sebaliknya percaya isu itu boleh ditangani TNB dengan sebaiknya.
Katanya antara inisiatif boleh dilaksanakan TNB termasuk menubuhkan pasukan khas bagi menangani isu yang timbul melibatkan penggunaan meter pintar itu menerusi aduan yang diterima dan meningkatkan penganjuran program bertemu rakyat agar maklumat tepat dapat disampaikan secara terus kepada mereka.
Sementara itu, katanya setakat hari ini sebanyak 250,000 meter pintar telah ditukar di negeri itu secara berperingkat dan daripada jumlah itu, kira-kira 2,500 laporan berhubung meter itu telah diterima TNB.
“Daripada jumlah itu juga, sekitar 1,600 laporan telah diambil tindakan oleh TNB menerusi beberapa kaedah termasuk mengarahkan anggotanya ke lokasi untuk memeriksa meter yang dipasang serta memberi panduan penggunaan tenaga elektrik yang betul bagi mengelak pembaziran yang menyumbang pada peningkatan bil elektrik,” katanya.
— BERNAMA