Azhar Azizan Harun
Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Seramai 39,684 orang daripada 39,856 orang pengundi biasa layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil Sandakan pada Sabtu ini.

Daripada jumlah tersebut seramai 172 orang telah mengundi secara pos.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru kepada semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Sabtu ini, kata Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun.

Para pengundi adalah dinasihatkan agar merancang masa dan keluar pada awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi di saat-saat akhir walaupun waktu mengundi telah ditetapkan dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang.

Bagi pengundi yang telah menerima Kad Pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR.

Manakala, bagi pengundi yang tidak menerima kad kerana kemungkinan telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

Semakan boleh dibuat dengan melayari portal rasmi SPR di www.spr.gov.my; atau telefon ke talian 03-88927018; atau menyemaknya melalui aplikasi MySPR Semak; atau SMS ke 15888 (taip SPR<jarak>SEMAK<jarak>NO.KAD PENGENALAN)

Semasa membuat semakan, pengundi disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat berikut:
a)pusat mengundi;
b)saluran mengundi; dan
c) nombor bilangan pemilih.

Azhar menambah, pengundi diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

Kad Pengundi dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

Selain itu, pengundi juga dinasihatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast