KUALA LUMPUR- Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) menjangkakan kerja-kerja kajian feasibiliti dan laporan pernilaian impak persekitaran (EIA) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) pada suku ketiga 2019 kerana penjajaran semua landasan akan diperincikan ketika itu.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MRL menegaskan rundingan Malaysia dengan China adalah berasaskan kerjasama untuk mencari jalan dan kaedah untuk mengurangkan kos tanpa berkompromi dengan rangkaian landasan tersebut.

“Kedua-dua negara bersedia untuk mengadakan rundingan atas semangat diplomatik dengan matlamat untuk membina ECRL pada kos yang lebih rendah,” katanya.

Menyentuh mengenai EIA, MRL berkata, rundingan semula diadakan mengikut perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan memulakan (EPCC) asal.

Jelasnya, proses rundingan semula itu bukan untuk memuktamadkan perjanjian EPCC baharu tetapi memudah cara penyambungan semula projek ECRL melalui perjanjian tambahan yang dimeterai pada 12 April 2019 di Beijing.- MalaysiaGazette