KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat sebanyak 3.1 peratus pada bulan Mac 2019 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.
Peningkatan pada bulan Mac 2019 disokong oleh pertumbuhan dalam indeks elektrik (4.8%) dan pembuatan (4.1%) manakala indeks perlombongan merekodkan penyusutan sebanyak 0.2 peratus.
Output sektor pembuatan meningkat sebanyak 4.1 peratus pada bulan Mac 2019 berbanding bulan Mac 2018 selepas mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus pada bulan Februari 2019, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Subsektor utama yang mencatatkan peningkatan pada bulan Mac 2019 adalah produk makanan, minuman dan tembakau (6.8%), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.7%) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (2.7%).
Output sektor perlombongan mencatatkan penurunan secara marginal 0.2 peratus pada bulan Mac 2019 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Kejatuhan ini disumbangkan oleh indeks minyak mentah (-2.0%) manakala indeks gas asli meningkat sebanyak 1.4 peratus.
Output sektor Elektrik tumbuh sebanyak 4.8 peratus pada bulan Mac 2019 berbanding bulan Mac 2018.
IPP Malaysia pada suku pertama 2019 merekodkan pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan ini disumbangkan oleh pertumbuhan dalam sektor elektrik (5.8%) dan sektor pembuatan (4.0%), sementara sektor perlombongan menyusut sebanyak 1.9 peratus. – MalaysiaGazette