Datuk Mazlan Aliman
Mazlan Aliman

PETALING JAYA – Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF) menggesa kerajaan mempertimbangkan agar masyarakat peneroka Felda diberikan duit raya sebanyak RM400 atau lebih sempena Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, insentif itu sangat diperlukan oleh masyarakat peneroka hari ini yang berdepan dengan tekanan kos sara hidup tinggi dan ketidaktentuan harga sawit di pasaran.

“Alhamdulillah pada tahun lepas kerajaan telah mengumumkan duit raya sebanyak RM400 setiap peneroka.

“Buat pertama kali Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberikan duit raya ini kepada semua peneroka sama ada peneroka yang bersama Felda ataupun peneroka yang mengusahakan kebun mereka secara persendirian.

“MPNF merayu supaya duit raya ini dapat diberikan kepada peneroka Felda dan kalau boleh jumlahnya lebih dan tidak kurang daripada jumlah yang diberikan pada tahun,” katanya pada sidang media di Kota Damansara, di sini, hari ini.

Datuk Mazlan Aliman
Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO FELDA (MPNF), Datuk Mazlan Aliman bercakap pada sidang media mengenai kertas putih Felda, MPNF menyumbang idea dan tenaga kearah model baharu Felda di Tree Med Sdn Bhd Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor. foto IQBAL BASRI, 10 MEI 2019

Tahun lepas, Kerajaan PH memberikan insentif raya berjumlah RM450 kepada peneroka FELDA dan FELCRA termasuk bukan ahli FELDA bagi perayaan hari raya puasa.

Pembayaran insentif raya itu membabitkan kos RM50 juta bagi FELDA yang menggunakan peruntukan kerajaan dan RM44 juta bagi FELCRA yang digunakan menerusi peruntukan FELCRA.

Difahamkan terdapat seramai 112,635 peneroka FELDA dan 7,636 bukan ahli FELDA yang akan mendapat manfaat berkenaan.

Mazlan juga berkata, beliau berharap pemberian insentif raya itu dapat disalurkan kepada masyarakat peneroka Felda seminggu sebelum perayaan hari raya puasa tahun ini.

“Saya boleh membayangkan kalau mereka tak dapat (duit raya) tahun ini, tentu sekali ia akan menimbulkan satu tekanan bagi peneroka untuk menghadapi hari raya di kala harga komoditi tidak menentu.

“Sekurang-kurangnya melalui duit raya ini mereka boleh gunakan untuk barang dapur bagi persiapan hari raya, biasanya pembayaran ini dibuat seminggu sebelum hari raya,” katanya.

Mazlan turut menggesa Felda berunding dengan FGV Holdings Berhad untuk memberikan dividen kepada masyarakat peneroka secara serentak dengan duit raya pada tahun ini.

“Kalau peneroka dapat sekurang-kurangnya RM400 daripada Felda dan FGV boleh berikan sebahagian dividen, maka dengan tambahan FGV, saya yakin jumlah yang bakal diperolehi peneroka lebih besar daripada tahun lalu.

“Sejak insentif ini diperkenalkan pada 2011, tak pernah terlepas (tak dapat) maka peneroka akan dapat, dan pernah pada satu ketika peneroka dapat sampai RM1,000.

“Bila dicampurkan antara duit raya tadi dengan dividen yang diberikan oleh FGV, peneroka boleh dapat RM1,000.

“Ini merupakan satu jumlah yang melegakan bagi masyarakat Felda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette