Kamarudin Mohd Hussain.
Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia, Kamarudin Mohd Hussain

KUALA LUMPUR – Tindakan Kementerian Pengangkutan membenarkan pemasangan cermin gelap pada kenderaan e-hailing, Grab akan ‘menyelamatkan’ pendatang asing tanpa izin berselindung dari mata pihak berkuasa.

Gabungan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Semalaysia (GTSM) mendakwa kerajaan tidak seharusnya mengutamakan kenderaan persendirian yang berperanan sebagai pengangkutan awam dalam soal pemasangan cermin gelap dan mengenepikan teksi.

“Betul cermin gelap yang dibenarkan kepada pemandu Grab menggunakan kenderaan persendirian menjalankan khidmat mengangkut penumpang awam membawa kesan langsung kepada industri teksi yang tidak dilayan sama adil dalam pelaksanaan itu.

“Bayangkan kereta persendirian yang menggunakan khidmat e-hailing, ramai warga pendatang asing tanpa permit di negara ini akan gunakan khidmat Grab dan berselindung disebalik cermin gelap daripada dikesan polis, sekaligus menyukarkan operasi dan pemeriksaan pihak keselamatan.

“Kalau guna cermin terang warga asing duduk belakang seperti teksi, memudahkan kerja polis membuat pemeriksaan, tapi kami kesal kenapa PDRM tak tegas dengan pendirian mereka dan terikut seruan menteri,” kata Yang DiPertua GTSM, Kamarudin Mohd Hussain.

Pada media hari ini, beliau mahu kerajaan membuat satu ketetapan tegas dan muktamad dalam isu cermin gelap untuk kenderaan e-hailing.

“Sekiranya kerajaan ingin meneruskan cermin gelap untuk kenderaan persendirian, tetapi dengan satu syarat iaitu kenderaan persendirian yang menyediakan e-hailing seperti Grab tidak dibenarkan sama sekali bercermin gelap dan perlu tukar kod kegunaan kepada kenderaan perdagangan dan selaraskan dengan peraturan teksi.

“Mereka kenderaan persendirian selaku penyedia khidmat e-hailing pengangkutan awam perlu dilabel dengan no plat warna kuning atau hijau sebagai penyedia aktiviti perkhidmatan awam demi keselamatan semua pihak selain memudahkan penguatkuasaan pihak berkuasa polis.

“Selama ini sejak 2012 hingga 2017 Grab tak diluluskan lagi di Parlimen dan beroperasi secara haram di negara ini tanpa menjamin keselamatan pengguna ini harus dielakkan segera menerusi tindakan tegas kerajaan,” katanya.

Justeru beliau juga kesal dengan sikap Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang membelakangkan kepentingan pemandu teksi yang berdepan masalah dengan ‘perkhidmat haram’ Grab di negara ini.

Dakwa beliau, Anthony sengaja melonggarkan peraturan untuk menjaga kelangsungan hidup perkhidmatan Grab di negara ini yang mana pemandu ‘kereta sapu haram ini’ terus kekal dalam industri teksi negara.

“Kami tidak pasti beliau mempunyai kepentingan dalam syarikat Grab atau mungkin unsur rasuah, tetapi apa yang kami lihat beliau telah menggunakan jawatannya untuk melindungi kepentingan syarikat itu.

“Harap SPRM membantu kami untuk menyiasat ke atas JPJ dan kementerian berkenaan sama ada wujud ruang untuk menyiasat sebarang berkemungkinan wujud unsur rasuah kerana pemansuhan had kegunaan cermin gelap kepada Grab seolah ada kepentingan tersembunyi.

“Selama ini ramai pemandu Grab menggunakan cermin gelap dan ketika menjalani ujian pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom) sudah pasti berdepan masalah dan secara langsung mendesak pemandu berhenti memandu sehingga syarikat Grab kehilangan pemandu.

“Untuk menyelamatkan mereka yang merompak mata pencarian kami, rasanya Anthony membuat pelbagai pindaan dan kelonggaran peraturan untuk memudahkan e-hailing beroperasi yang bukan sahaja memperjudikan keselamatan penumpang dan pengguna jalan lain, juga menyusahkan polis dan merisikokan keselamatan pihak berkuasa itu semasa operasi,” ujarnya. -MalaysiaGazette