Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) berbual dengan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika hadir pada Majlis Sambutan Ulangtahun UMNO ke 73 dan Majlis Berbuka Puasa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2019

KUALA LUMPUR – MCA tidak merasakan penggabungan UMNO dan Pas dalam agenda penyatuan ummah yang digerakkan sejak akhir tahun lalu mahu menjadi sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional (BN).

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong menegaskan, beliau melihat penggabungan itu lebih dilihat kepada kesepakatan parti pembangkang semata-mata untuk menentang Kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Bagi saya apa yang dapat baca perkataan gabung itu adalah untuk menentang kerajaan, jadi ianya bukan sesuatu yang boleh ditakrifkan mengikut interpretasi kita.

“Kalau kita mengemblengkan tenaga, bergabung sama-sama sebagai pembangkang, sudah tentunya (tentang kerajaan), takkan mereka (UMNO-Pas) nak bergabung dengan parti komponen PH untuk menjatuhkan Kerajaan PH, itu tidak mungkin.

“Saya rasa bukan sesuatu yang janggal, bagi mana-mana parti pembangkang bekerjasama untuk menumbangkan kerajaan adalah perkara biasa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Sempena Ulangtahun UMNO ke-73, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bahawa parti Islam itu dan UMNO akan bergabung menjelang PRU ke-15 akan datang.

Kata Abdul Hadi usaha itu boleh berjaya kerana Pas dan UMNO kini berada dalam keadaan bersih selepas beberapa individu bermasalah meninggalkan kedua-dua parti berkenaan.

Ka Siong juga berkata, DAP dan Semangat 46 juga pernah bergabung dengan Pas sebelum ini untuk menentang kerajaan memerintah dan hari ini UMNO melakukan perkara sama.

“Bagi saya atas dasar kepentingan sejagat, atas platform solidariti pembangkang, saya rasa adalah perkara biasa, dulu pun DAP, Pas, Parti Semangat 46 pun mereka bersama-sama sejak tahun 90-an sudah mula.

“Jadi saya itu cuma kenyataan yang menggambarkan realiti di mana kita perlu semak dan imbang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast