Dr. Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

AMPANG – Datuk Dr Ibrahim Ali hari ini mengumumkan untuk melepaskan jawatannya sebagai Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) berkuatkuasa, serta-merta.

Ibrahim, 68, membuat keputusan itu bagi memberi tumpuan kepada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) yang baru diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS), Rabu lepas.

“Hari ini saya menawarkan secara terbuka untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden Perkasa, malah saya merayu supaya saya dibebaskan daripada jawatan ini bagi memberi tumpuan kepada parti yang baru saya tubuh ini.

“Saya rasa masa sudah sampai, dulu pun saya minta berhenti, satu ketika dulu saya mohon cuti selepas Pilihan Raya Umum ke-14, nak undur tapi Ahli Dewan Tertinggi (ADT) tidak bersetuju.

“Pertamanya saya ada masalah masa, supaya ada perbezaan antara Perkasa sebagai NGO dan Putra sebagai parti politik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Perkasa di Rumah Bakti Dato’ Harun, di sini, hari ini.

Dalam pada sama, Dewan Majlis Tertinggi Perkasa turut meraikan 90 anak yatim dan asnaf dalam majlis berbuka puasa selain tazkirah, solat Maghrib dan Isyak yang diakhiri dengan solat Tarawih secara berjemaah.

Selain Ibrahim, seramai empat ADT Perkasa yang lain turut meletakkan jawatan dalam NGO itu kerana mereka kini mempunyai tugas dan fokus baharu dalam PUTRA.

“Hari ini bukan saja saya, ada juga beberapa orang dalam kalangan ADT Perkasa iaitu Naib Presiden Perkasa, Ustaz Hasan Basri yang menyertai PUTRA sebagai penaja; kemudian Nasrul Ali Hassan selaku Ketua Penerangan; Arshad Aliman selaku Setiausaha Agung Penaja dan Burhan Zakaria selaku bekas YDP Perkasa Selangor,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Dewan Tertinggi Perkasa hanya membenarkan beliau dan empat yang lain meletakkan jawatan selepas selesai mesyuarat tahunan kawasan dan Persidangan Agung Tahunan Perkasa pada hujung tahun ini.

“Malangnya Dewan Tertinggi Perkasa sebulat suara tidak bersetuju dan mendesak saya memegang jawatan termasuk empat yang lain sehingga November 2019.

“Pada tahun ini juga mengikut Perlembagaan ada pemilihan Perkasa tiga tahun sekali ada pemilihan. Jadi pada waktu itulah boleh saya mengundur diri dan tokoh baharu akan dicalonkan sebagai presiden Perkasa.

“Terpulang kepada persidangan agung Perkasa pada waktu itu membuat keputusan apa juga mengenai pimpinan baharu selepas saya memimpi parti Putra,” katanya.

Ibrahim berkata lagi, dalam persidangan tahunan Perkasa tahun, pihaknya akan melakukan pindaan kepada Perlembagaan NGO itu iaitu penubuhan jawatankuasa Perkasa akan dihadkan kepada peringkat negeri sahaja.

“Kemungkinan persidangan tahunan Perkasa mungkin akan ubah Perlembagaan supaya Perkasa dihadkan di peringkat negeri, tidak lagi mengikut bahagian macam parti lain.

“Hanya wujud jawatankuasa penyelaras di peringkat negeri sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, Ibrahim turut mengumumkan pelantikan dua YDP baharu Perkasa di Terengganu dan Selangor, masing-masing ialah Kamarudin Cik dan Hadi Jani manakala ADT baharu pula ialah Datuk Wan Johani Wan Husin. – MalaysiaGazette