Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bercakap kepada media pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Timbalan Ketua Polis Negara di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MEI 2019

PUTRAJAYA – Kerajaan tidak menerima sebarang permohonan rasmi untuk mewartakan dokumen insiden rusuhan kaum 13 Mei yang berada di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) sebagai tatapan umum.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebaliknya menyifatkan cadangan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Jawatankuasa Mei 13 itu sebagai pandangan segelintir pihak tanpa melibatkan rakyat keseluruhan.

“Tiada permintaan rasmi diperoleh lagi dari mana mana pihak setakat ini.

“Apa perlu membangkitkan cerita lama? Itu satu pengajaran. Yang penting adalah pada waktu ini dan masa depan dan inilah yang Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan janjikan iaitu untuk berlaku adil dan saksama.

“Kita tidak mahu negara kucar-kacir kerana perkauman dan agama.

“Sedikit sebanyak pengalaman lampau itu harus menjadi batasan dan tidak berulang,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan watikah pelantikan kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mazlan Mansor sebagai Timbalan Ketua Polis Negara hari ini.

Tambah beliau, PH kini komited dengan janji berkenaan dan mengambil ikhtibar daripada peristiwa yang berlaku pada 1969 itu.

“Apa yang penting kita perlu belajar dari apa yang berlaku dan memastikan Malaysia tidak menghadapi masalah itu lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast