KUALA LUMPUR – Ramadan sepatutnya bulan bagi umat Islam mengekang hawa nafsu dan selera, tetapi ketika inilah pembaziran dan sikap berlebih-lebihan berlaku seolah-olah sudah menjadi kebiasaan.
Ramai berbelanja besar untuk aneka juadah berbuka puasa atau menempah hidangan bufet melebihi bulan lain.
Berikutan itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melahirkan rasa kesal kerana pembaziran makanan lebih tinggi ketika bulan Ramadan walhal Islam ditegah melakukan pembaziran.
Malah kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu, angka yang dikeluarkan oleh Solid Waste Corporation of Malaysia (SWCorp) menjelang bulan puasa menunjukkan pembaziran meningkat mendadak dan agak ‘menakutkan’ beliau.
Jelas Saifuddin, daripada 15,000 tan metrik pembaziran makanan yang dilaporkan setiap bulan, angka meningkat kepada 20,000 tan metrik pada bulan Ramadan ini.
“Seorang profesor yang saya temui minggu lepas ada memberi cadangan kepada saya, antara cara untuk elakan pembaziran seperti ini adalah dengan dengan membuat larangan ‘bufet Ramadan’. Boleh menghentikan atau mengurangkan pembaziran makanan.
“Sebenarnya, berapa banyak yang kita boleh makan jika diadakan bufet makanan seperti ini? Bagi saya cukuplah dengan sekadar buah kurma dan air,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Food Bank Malaysia di Putrajaya hari ini.
Bagaimanapun, ketika diminta mengulas lanjut, jelas Saifuddin, kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kuantiti tertentu kepada industri makanan khasnya hotel dalam penyediaan makanan.
Sebaliknya, kata beliau, pihaknya hanya boleh memberikan nasihat secara ikhlas dan berniat baik khasnya ketika menyambut bulan Ramadan.
“Apakah yang kami boleh buat sebenarnya? Sebagai kerajaan kita tidak boleh letak peraturan atau ‘regulate’ untuk industri ini seperti hotel menyiapkan makanan mereka dengan kuantiti tertentu sahaja.
“Tetapi apa yang kami boleh lakukan ialah memberi nasihat kepada mereka untuk juga melakukan amal jariah dan kebajikan apatah lagi ketika menyambut Ramadhan yang ada 22 hari lagi. Biarlah kita insaf dan ingat kepada segelintir golongan yang sedang bergelut mendapatkan makanan.
“Jika hendak mendapatkan senarai, KPDNHEP ada senarai penerima yang memerlukan bantuan makanan ini, bantulah mereka pada masa ini,” ujarnya.
Sebelum ini, SWCorp selaku syarikat pengurusan sisa pepejal dilantik kerajaan pernah merekodkan 615,000 tan makanan dibazirkan selepas majlis berbuka tamat.
Akta Pembaziran Makanan bagi mengawal selia dan menangani tabiat rakyat yang suka membazir akan digubal dan akan dibawa ke Parlimen dalam masa terdekat.
Kata Saifuddin, lebih 120,000 rakyat Malaysia telah mendapat manfaat daripada Program Food Bank Malaysia kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.
“Ini tidak termasuk pula dengan para siswa siswi kita, mungkin dalam 3,000 lebih juga telah mendapat manfaat melalui program kita ini, saya mohon lebih ramai tampil memberikan komitmen dalam program ini,” tegasnya. –MalaysiaGazette