CONNECTICUT – Seorang lelaki didakwa melakukan 16 kesalahan termasuk mengancam untuk membunuh Presiden Donald Trump dengan menghantar mel mengandungi serbuk putih yang diragui kandungannya bersama sekeping nota bertulis tangan “Anda Mati”.
Menurut dokumen mahkamah, Gary Gravelle, 51, didakwa melakukan ancaman itu pada September 2018.
Dia juga didakwa telah menghantar sampul surat serupa ke sebuah gereja yahudi, sebuah masjid dan sebuah pusat National Association for the Advancement of Colored People (NAACP).
Nota tersebut mendakwa serbuk berkenaan adalah bio-toksin tetapi selepas dibuat kajian, ianya didapati tidak merbahaya.
Gravelle turut menghantar emel dan membuat panggilan telefon mengancam untuk meletupkan bom di Vermont, Washington dan beberapa lokasi di Connecticut termasuk bangunan-bangunan kerajaan dan sebuah hospital sakit mental.
Sekiranya didapati bersalah di atas kesemua 16 pertuduhan itu, dia mungkin berhadapan dengan hukuman penjara maksimum selama 140 tahun.
Gravelle sebelum ini pernah dijatuhkan hukuman pada 2013 di atas kesalahan menghantar komunikasi mengandungi ancaman bagaimanapun dilepaskan di bawah pemantauan persekutuan sehinggalah dia ditangkap semula di atas pertuduhan baharu tahun lepas, demikian menurut Peguam Negara AS, John Durham dalam satu kenyataan pada Jumaat.- Agensi