SHAH ALAM – Jika ada individu yang menarik Muhammad Adib Mohd Kassim keluar daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang sedang mengundur, kedua-dua mereka akan mengalami kecederaan parah yang boleh menyebabkan kematian.
Jelas saksi ke-24 Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Ahmad Hafizam Hasmi ini kerana bahagian sisi kiri van yang sedang bergerak itu disifatkan sebagai zon bahaya.
Namun dalam hal ini menurut beliau, pada malam kejadian rusuhan kuil Sri Maha Mariamman, tiada orang lain yang tercedera kecuali anggota bomba itu.
“Sekiranya ini berlaku penarik atau penyerang juga dalam bahaya dan berpeluang dapat kecederaan.
“Kalau yang dicadangkan (pelaku menarik mangsa dan tidak dapat keluar dari zon bahaya jika mangsa yang lama diambil mungkin akan ada dua post-mortem (dua kematian),” katanya kepada Mahkamah Koroner hari ini mengulas teori saksi Profesor Dr Shahrom Abdul Wahid sebelum ini.
Shahrom sebelum ini berkata terdapat lebih kurang dua individu pelaku yang menyebabkan Muhammad Adib tercedera apabila ditarik keluar dari van dan kemudian ada yang menendang daun pintu itu mengenai dadanya.
Selain itu Hafizam yang dipanggil semula memberi keterangan sepanjang minggu ini berkata, lakonan semula insiden yang berlaku pada malam itu berdasarkan teori Shahrom dianggapnya sebagai tidak boleh digunakan untuk membantu mahkamah.
Ujarnya, ia tidak langkap kerana ada kejadian yang berlaku tanpa van bergerak dan hentakan daun pintu pada lengan Adib seperti yang didakwa sebelum ini.
“Reenakmen itu pada saya tidak boleh digunapakai kerana ada sequence kecederaan tidak ditunjukkan dalam video itu,” tambah Hafizam. -MalaysiaGazette