Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution (dua kiri) diiringi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub (kiri) bercakap semasa sidang media Pengumuman Harga Barang Kawalan Sempena Sambutan Aidilfitri 2019 di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MEI 2019

PUTRAJAYA- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menambah enam jenis barangan lagi untuk dimasukkan dalam senarai Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya menjadikannya 27 berbanding 21 sebelum ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, keputusan diambil selepas meneliti keperluan barang-barang tersebut untuk kegunaan semasa musim perayaan Aidilfitri.

Pada tahun ini, KPDNHEP menambah tiga jenis ikan sejuk beku segar seperti kembung, selayang dan selar ke dalam senarai SHMMP Hari Raya di samping kacang panjang, cili kering dan kacang tanah.

SHMMP Hari Raya akan dilaksanakan selama 30 hari bermula 21 Mei ini sehingga 19 Jun.

Di bawah skim tersebut harga borong ayam standard ditetapkan pada RM6.70 sekilogram manakala harga runcit adalah RM7.50 sekilogram.

Telur ayam gred A dijual pada harga borong 38 sen sebiji dan harga runcit 40 sen sebiji.

Harga kelapa biji ditetapkan pada harga borong RM1.90 sebiji namun tiada penetapan harga runcit.

Bagi SHMMP Pesta Kaamatan yang disambut di Sabah dan Labuan akan dimulakan pada 23 Mei sehingga 5 Jun selama 14 hari.

Sejumlah 14 barangan disenarai di bawah SHMMP Pesta Kaamatan pada tahun ini dengan penambahan satu barangan baharu iaitu cili kering.

Harga borong ayam standard di bawah SHMMP Pesta Kaamatan ditetapkan pada RM8.50 sekilogram manakala harga runcit adalah RM9.70 sekilogram.

Harga borong daging babi ditetapkan pada kadar RM18 sekilogram manakala harga runcit adalah RM20 sekilogram.

Bagi perayaan Hari Gawai yang disambut di Sarawak, Skim Harga Maksimum akan bermula pada 25 Mei sehingga 7 Jun selama 14 hari.

Sama seperti SHMMP Pesta Kaamatan, SHMMP Hari Gawai menyenaraikan 14 barangan kawalan termasuk cili kering.

Saifuddin berkata, secara keseluruhannya terdapat 12 barangan yang ditetapkan harga yang lebih rendah di bawah SHMMP berbanding harga purata manakala enam barangan tidak berubah dan sembilan lebih mahal berbanding harga purata.

Beliau menasihatkan peniaga agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan yang bakal diambil oleh KPDNHEP.

“Kami mempunyai 2,300 penguatkuasa yang sentiasa bersedia untuk menjalankan tanggung jawab mereka memantau harga-harga barangan kawalan tersebut.

“Kami memahami keperluan peniaga untuk membuat keuntungan dan kami tidak menghalang tetapi kerajaan juga mahu melindungi hak pengguna,” katanya semasa sidang media di kementeriannya hari ini.

Peniaga yang tidak mematuhi harga yang ditetapkan akan menerima notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast