KUALA LUMPUR – Bulan Ramadan tidak boleh dipisahkan dengan budaya umat Islam yang berkemampuan untuk memilih hotel yang menawarkan pelbagai juadah istimewa secara bufet sebagai destinasi untuk berbuka puasa.
Namun bagi aktres Maya Karin, dia menganggap senario itu sebagai suatu pembaziran terutama apabila ada pihak hotel mengenakan bayaran caj sekepala dikatakan sampai tidak masuk akal.
Maya turut mempersoalkan pakej yang ditawarkan agak mahal tetapi masih terdapat ramai individu yang masih berbelanja dan berbuka puasa di hotel.
“Saya amat marah dengan harga melampau untuk bufet Ramadan! Terdapat individu mahupun syarikat rela membayarnya. (RM) 150 hingga 200 untuk dewasa,” katanya.
Maya meluahkan kenyataan itu di Instagram sambil mengiringi status dimuat naik dengan tanda pagar seperti #foodwaste (pembaziran) dan #exploitation (eksploitasi).
Mengulas soal pembaziran pula, Maya, 39, menjelaskan dia sebenarnya kurang memahami mengapa terdapat segelintir umat Islam gagal mempraktikkan kesederhanaan sewaktu berbuka puasa. – MalaysiaGazette