Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini murka dengan tindakan seorang ahli politik yang dianggap mencabul kesucian Islam apabila berpolitik dalam masjid.

Dalam satu kenyataan di laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda sebagai ketua agama Islam di Johor tidak apologetik untuk mengambil pendirian bahawa semua aktiviti ahli politik di masjid dan surau di negeri itu dihentikan.

Jelas baginda, langkah itu dibuat demi menjamin kesucian, ketertinggian Islam dan maruah Islam terpelihara, selain menjaga keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama dapat terus dinikmati oleh Bangsa Johor.

“Semua aktiviti ahli politik di masjid dan surau di Johor hendaklah segera dihentikan dan pencabulan yang telah berlaku tidak boleh berulang lagi,” tidak baginda.

Kata Sultan Ibrahim, baginda yakin ahli parlimen dan parti-parti yang diberi kuasa akan menafikan mereka membuat apa-apa ucapan politik dalam majlis itu.

“Bagaimanapun, saya konsisten menekankan bahawa masjid dan surau dihalang daripada melakukan apa-apa aktiviti politik.

“Ini kerana sebahagian besar kegiatan yang dianjurkan oleh politik boleh mewujudkan konflik, penghinaan dan fitnah demi meraih populariti mereka,” katanya.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama kenyataan tersebut diyakini merujuk kepada kehadiran Anggota Parlimen Labis, Pang Hok Liong di Masjid Tenang Stesen pada 10 Mei lalu.

Pang dikhabarkan hadir ke masjid untuk menyampaikan sumbangan.

Gambar Pang berucap kemudian menjadi tular dan dia didakwa memberi ucapan politik di situ. – MalaysiaGazette