Khaled Nordin
Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Apakah kayu ukur kemakmuran bersama ini?

Itu persoalan pertama Naib Presiden UMNI, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai konsep kemakmuran bersama 2030 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri.

Menurutnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyebut berkenaan ‘pemilikan aset kewangan, fizikal dan simpanan dan ‘penyertaan dalam rangkaian bekalan’.

“Jadi, apakah sasarannya dan bagaimanakah kemakmuran bersama akan dinilai dalam konteks ini?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Khaled,  persoalan kedua ialah penghalang utama kepada kemakmuran bersama adalah pendapatan yang terlampau tinggi dan tumpuan kekayaan dalam kalangan orang kaya.

“Strategi terkenal Tun Mahathir sebelum ini semasa menjadi Perdana Menteri ke-4 adalah ekonomi laissez-faire, polisi trickle-down economics dan dasar penswastaan besar-besaran.

“Dasar dan pendekatan ini telah melahirkan golongan kecil elit yang terlampau kaya terutamanya di kalangan beberapa elit Melayu dan bukan Melayu yang terpilih,” ujarnya.

Justeru, rakyat pastinya sangat berharap yang pelan kemakmuran bersama ini dapat memperbetulkan segala kesenjangan ini.

Ketiga, katanya,kerajaan sehingga kini belum menjelaskan bagaimana strateginya untuk mengagihkan kekayaan negara secara lebih saksama dan berkeadilan.

“Apakah yang akan dilakukan dengan agenda pemberdayaan Bumiputera dalam konteks kemakmuran bersama ini? Ini semua perlu diperincikan kerana ikhtiar pemberdayaan bumiputera selama ini memang tujuannya untuk memastikan kesejahteraan negara ini dikongsi secara bertanggungjawab antara semua kaum di Malaysia.

“Ia tidak sama sekali dirangka atas dasar menguntungkan kaum Bumiputera hanya kerana mereka Bumiputera,” katanya.

Keempat, kata Mohamed Khaled, kerajaan mempunyai tugas memastikan yang usaha mengurangkan peranannya dalam ekonomi dan melupuskan aset dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak akan mewujudkan orang tengah
yang mendapat keuntungan atas angin sekali lagi.

“Kita masih ingat, Dasar Penswastaan besar-besaran Tun Mahathir sebelum ini telah dikritik ramai kerana menyuburkan kronisme, pengambilalihan keuntungan secara tidak adil dan kehilangan tumpuan sosial yang kritikal,” ujarnya.

Kelima, objektif ketiga hasrat Kemakmuran Bersama adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai paksi ekonomi Asia.

“Ini adalah harapan yang tinggi, dan baik. Namun sehingga waktu ini, tiada strategi khusus dinyatakan bagaimana Kerajaan akan memacu proses menglobalisasikan ekonomi Malaysia dan mengukuhkan peranannya dalam kemakmuran ekonomi serantau,” katanya.

Keenam, kesemua tujuh teras dasar kemakmuran bersama itu semuanya telah menjadi kerangka dasar ekonomi Malaysia sebelum ini. Ia telah diungkapkan secara jelas dan tuntas dalam pelbagai dasar ekonomi, pembangunan dan dasar sosial negara.

“Malah banyak sekali projek dan program dalam pelbagai skala, telah dilaksanakan dalam merealisasikannya. Semuanya dengan tujuan untuk memakmurkan Malaysia,” katanya.

Dengan demikian, visi kemakmuran bersama ini bukanlah sesuatu yang baru dan penerusan pelbagai dasar Kerajaan sebelumnya dalam pakej yang berlainan.

“Jadi apakah tawaran baru dalam visi ini?” soalnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast