Dua dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn. Bhd. Syahrunizam Samsudin bersama Pengarah Urusan QSR Brands (M) Bhd., Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil dan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Restoran QSR Brands Merrill Pereyra.

KUALA LUMPUR- Syarikat penyedia sistem tanpa tunai eWallet, TNG Digital Sdn. Bhd. menjalinkan kerjasama strategik dengan rangkaian restoran makanan segera, KFC Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan pembayaran QR di kesemua restoran KFC di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, para pelanggan restoran KFC kini boleh menggunakan Touch ‘n Go eWallet untuk membuat pembayaran.

“Rakyat Malaysia boleh menikmati ayam goreng kegemaran mereka dengan kemudahan Touch ‘n Go eWallet, di samping mendapat manfaat tambahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd., Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata, syarikat tersebut sentiasa cuba menaik taraf kecekapan perkhidmatan restoran-restoran miliknya seiring dengan perkembangan teknologi terkini bagi memberikan servis yang lebih baik kepada pelanggan.

“Perkhidmatan kami sentiasa dinaiktaraf seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin mudah didapati di dalam kehidupan seharian.

“Kami teruja untuk melancarkan kerjasama dengan Touch ‘n Go, sebagai salah sebuah syarikat peneraju yang mempelopori usaha ke arah membentuk masyarakat tanpa tunai.

“Pilihan pembayaran digital seperti Touch ‘n Go eWallet dapat membantu kami mempertingkat kecekapan perkhidmatan restoran, bagi menyediakan yang terbaik kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Serentak itu, QSR Brands yang memiliki rangkaian KFC Malaysia mengumumkan diskaun 20 peratus ke atas lima ketul ayam Bucket kongsi sepanjang bulan Ramadhan ini.

Selain itu, pengguna baharu Touch ‘n Go eWallet juga boleh mendapatkan TNG Reload PIN percuma bernilai RM10 di restoran-restoran KFC terpilih.- MalaysiaGazette