Tun Abdul Hamid Mohamad
Tun Abdul Hamid Mohamad

KUALA LUMPUR – Hasrat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) untuk menawan Selangor dan Perak pada Pilihan Raya Umum (PRU15) disifatkan hanya sebagai satu angan-angan.

Pandangan itu dilontarkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang melihat presiden penaja parti berkenaan, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali tidak mampu menarik pengundi Melayu apatah lagi pengundi Cina.

Malah katanya, mendengar nama Ibrahim yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Him” juga sudah cukup untuk kedua-dua kaum menjauhkan diri daripada Putra.

“Maka, jika Putra bercita-cita merampas Perak dan Selangor ia hanya boleh mengharapkan orang-orang Melayu yang, jika tidak, akan mengundi Umno atau PAS, untuk mengundi Putra.

“Cita-cita menawan Selangor dan Perak itu hanya akan tinggal angan-angan,” katanya menerusi artikel yang dipetik dari laman blog www.tunabdulhamid.my.

Abdul Hamid menggariskan langkah yang perlu dilakukan oleh Putra sekiranya mahu melihat cita-cita mereka menjadi kenyataan adalah dengan mengelakkan pertandingan antara UMNO dan Pas semasa PRU.

Katanya, perkara itu harus disokong oleh NGO-NGO Melayu dan di situlah peranan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) diperlukan.

Tambah beliau, malangnya apabila sudah menjadi parti politik sudah tentu parti itu akan bertanding dan akan berlaku pertembungan antara parti Putra, UMNO dan Pas.

“Jika tidak untuk apa menjadi parti politik? Jika ia bertanding, walaupun UMNO dan Pas bersetuju untuk hanya salah satu daripadanya akan bertanding di sesuatu kawasan itu, jika tiada calon bebas pun, undi akan berpecah tiga, bukan (instead of) dua.

“Apa yang berlaku dalam PRU14 akan berulang lagi. Malays never learn (Melayu tidak pernah belajar). Apatah lagi jika UMNO dan Pas pun tidak bersetuju untuk mengelak pertandingan sesama sindiri,” ujarnya.

Dalam pada itu Abdul Hamid menegaskan analisisnya akan salah jika selepas penubuhan Putra, orang Melayu yang menjadi ahli UMNO, Pas, NGO-NGO Melayu dan yang tidak berparti akan berduyun-duyun menyertai atau menyokong Putra seperti apa yang berlaku kepada UMNO selepas Malayan Union dulu.

Namun, beliau tidak fikir perkara itu akan berlaku, katanya.

Sebaliknya, Abdul Hamid berkata, ia lebih berkemungkinan Putra akan mengikuti nasib parti-parti serpihan lain seperti IMP, National Convention Party, KITA, HAMIM, dan lain-lain.

“Jika ia tidak dapat mengulangi apa yang berlaku kepada UMNO itu, adalah lebih baik ia menerima nasib parti-parti yang saya sebut terkemudian itu, lebih awal, supaya ia tidak banyak dan tidak lama melakukan kerosakan kepada politik orang Melayu,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ibrahim yang merupakan Presiden Perkasa dipetik sebagai berkata, parti Putra pimpinannya menumpukan kepada dua negeri iaitu Perak dan Selangor pada PRU15 nanti.

Katanya, Selangor menjadi tumpuan kerana negeri itu sudah lama diperintah Pakatan Harapan (PH) atau sebelum ini Pakatan Rakyat (PR) dan majoriti rakyatnya mahukan kerajaan baharu.

Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO gagal menawan semula negeri itu sejak jatuh ke tangan PR dan PH pada 2008 dan kini tiba masanya PUTRA pula berhadapan gabungan parti kerajaan itu dan tidak mustahil boleh mencipta kejutan untuk menawannya, katanya. – MalaysiaGazette’

Artikel berkaitan:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/09/ibrahim-ali-terajui-parti-putra/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/12/ibrahim-ali-letak-jawatan-perkasa-mahu-fokus-putra/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast