KUALA LUMPUR – Kerajaan pada masa ini tidak bercadang untuk melanjutkan tempoh untuk pemandu e-hailing mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook telah berjumpa dengan pihak atasan Grab Malaysia pada 14 Mei lalu untuk menyatakan pendirian kementerian.

Dalam perjumpaan itu, Siew Fook menyatakan tarikh akhir iaitu 12 Julai tidak akan dilanjutkan.

“Kementerian telah meminta semua pemandu e-hailing untuk mendaftar dari Januari hingga Julai serta menyempurnakan kursus PSV dan mendapatkan lesen itu.

“Menteri juga berharap Grab akan menggalakkan pemandunya untuk menuruti arahan yang diberikan,” demikian lapor China Press.

Selain itu, Grab juga dilaporkan menyediakan subsidi RM50 kepada pemandunya untuk menduduki ujian bagi mendapat PSV.

Pertubuhan Pemandu Grab Malaysia sebelum ini menggesa kerajaan memanjangkan tempoh untuk mendapatkan lesen PSV kerana jangka masa yang ditetapkan kerajaan ketika ini iaitu dari April hingga Julai adalah sangat singkat ditambah dengan proses permohonan yang rumit.

Walaupun pertubuhan tidak mempunyai jumlah sebenar pemandu e-hailing yang gagal dalam ujian PSV, namun secara kasarnya ia mendakwa 10 hingga 50 peratus sahaja pemandu yang lulus dalam setiap kelas.

Dikatakan terdapat kes di Pulau Pinang di mana hanya tujuh pemandu lulus ujian PSV daripada 40 orang yang menduduki peperiksaan tersebut. – MalaysiaGazette