JOHOR BAHRU – Pengerusi Masjid Jamek Bandar Paloh, Hassan Sarkon akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap insiden penggantungan kain rentang yang tertera logo parti politik di masjid tersebut, hari ini, seperti yang tular di media sosial.
Dihubungi Bernama di sini, beliau berkata hanya menyedari kehadiran kain rentang itu setelah ia dinaikkan untuk sebuah majlis.
“Mungkin ada antara anggota jawatankuasa (masjid) yang terlampau bersemangat sehingga menggantungkan kain rentang tersebut. Bagaimanapun, saya selaku pengerusi majlis yang memberikan kebenaran untuk majlis tersebut berlangsung akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara tersebut,” katanya.
Katanya, majlis yang berlangsung itu bukanlah program berunsurkan politik sebaliknya sebuah program kemasyarakatan.
“Tiada ucapan diberikan dalam majlis tersebut, yang ada hanya penyerahan beberapa sumbangan kepada mereka memerlukan,” tambahnya.
Pada pagi tadi, seorang wanita memuat naik beberapa keping gambar dalam akaun Facebooknya yang menunjukkan Wanita UMNO Bahagian Sembrong sedang menganjurkan sebuah program di Masjid Jamek Bandar Paloh.
Bagaimanapun terdapat sekeping gambar yang disertakan menarik perhatian netizen apabila tertera logo UMNO selain mempamerkan wajah Ketua Wanita UMNO Sembrong Datuk Noraslina Zainal Abidin dan juga Ketua Bahagian UMNO Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Hussein, mengakibatkan ia tular dalam media sosial.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar baru-baru ini melarang pentadbiran masjid dan surau menjadikan tempat ibadat itu sebagai lokasi aktiviti buat mana-mana parti dan ahli politik.
— BERNAMA