KUALA LUMPUR – Pengumuman pelaburan langsung asing (FDI)
dibuat dengan retorik dengan mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memperbaiki ekonomi negara sejak pemerintahan Barisan Nasional.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan Malaysia telah
mencapai FDI tertinggi dalam sejarahnya berdasarkan sejumlah RM 21.7 bilion, RM 8.4 bilion adalah dari Jepun; RM 3.7 bilion dari Austria dan RM 2.8 bilion dari Hong Kong.
“Malangnya, RM 8.4 bilion tersebut merupakan hasil penjualan aset Khazanah kepada Mitsui. Malangnya, RM 3.7 bilion merupakan hasil penjualan pemilikan 50 peratus saham Sapura Upstream Sdn Bhd oleh Syarikat Minyak OMV berpangkalan di Australia,” kata Ketua Pemuda Parti IKATAN Bangsa Malaysia, Shahir Adnan dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, berdasarkan kamus Menteri Kewangan, adakah penjualan aset-aset negara kita menjadi penanda aras FDI?
“Jika begitu jawapan beliau, seperti yang dinyatakan di dalam sidang media, maka penjualan aset negara adalah baik dari kaca mata Guan Eng,” katanya.
Justeru Shahir mengajak rakyat berfikir adakah penjualan aset utama negara seperti Petronas baik untuk negara?
“Semestinya jawapannya adalah tidak. Penjualan aset menunjukkan negara memerlukan tunai untuk tempoh masa singkat,” katanya lagi.- MalaysiaGazette