KUALA TERENGGANU – Jambatan angkat atau drawbridge yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus akan dibuka kepada orang ramai pada 2 Jun hingga 17 Jun ini sebagai percubaan kepada prestasi sistem operasinya.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk A Rahman Yahya berkata selepas itu, jambatan angkat yang pertama di Asia Tenggara itu akan ditutup semula bagi melihat dan menambah baik kelancaran operasinya dan dijangka dibuka sepenuhnya pada akhir Jun.
“Kami akan buka sebagai testing untuk orang ramai lalu sempena Hari Raya ini, dan kami akan tengok balik dan dijangka dibuka sepenuhnya akhir Jun.
“Sekarang ini jambatan itu sudah siap 99 peratus. Yang lagi satu peratus itu adalah kerja-kerja finishing seperti pemasangan papan tanda jalan, ” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu akan menjadi jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus berbanding tiga ketika ini iaitu Jambatan Sultan Mahmud, Jambatan Pulau Rusa dan Jambatan Pulau Sekati.
Jambatan yang mula dibina pada Ogos 2014 itu boleh diangkat di bahagian tengah untuk laluan kapal.– BERNAMA