Lim Kit Siang
Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak sepatutnya menari mengikut irama Datuk Seri Najib Tun Razak, sebaliknya PH perlu memaksa bekas Perdana Menteri (PM) itu menari mengikut rentak kerajaan, seperti yang disarankan Tun Daim Zainuddin.

Bagi Penasihat DAP, Lim Kit Siang saranan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan itu hanya separuh betul.

Beliau tidak bersetuju PH terus melupakan Najib yang mana sebagai bekas PM, beliau adalah pemimpin de facto bukan sahaja kepada paksi UMNO-Pas tetapi juga kepada gabungan pembangkang tidak rasmi yang membabitkan MCA dan MIC selain (Parti Bersatu Sabah) PBS dan parti-parti komponen di Sabah dan Sarawak termasuk Gabungan Parti sarawak (GPS).

Menurutnya, Najib mempunyai strategi jelas untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dalam usaha mengalahkan PH dan seterusnya mendapat kembali kuasa, jika tidak sebagai Perdana Menteri tetapi sebagai ‘kingmaker’ yang akan menamatkan kehadirannya di mahkamah dan menyelamatkan beliau daripada mengakhiri kehidupan dalam Penjara Sungai Buloh.

“MCA, MIC dan semua bekas parti dalam Barisan Nasional bermain dengan selamat untuk mendapatkan semula kuasa yang mana parti-parti terbabit tidak memperkatakan mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan legasi Najib dalam dunia kleptokrasi.

“Najib masih lagi polisi insurans mereka untuk hidup selepas Pilihan Raya Umum ke-14,” kata Ahli Parlimen Iskandar puteri dalam satu openyataan.

Pada Jumaat lalu, Daim menyarankan agar Putrajaya berhenti melayan Najib dan memberi fokus mewujudkan naratifnya sendiri dan melupakan bekas Perdana Menteri itu.

Daim berpendapat masalah yang dihadapi PH ialah mereka menari mengikut rentak Najib, yang mana ia tidak sepatutnya dilakukan.

Tambah bekas Menteri Kewangan itu, PH membuang masa dengan melayan Najib

Kit Siang berkata, adalah salah seseorang boleh melupai apa yang telah dilakukan Najib yang kini tidak mempunyai kuasa lagi.

Bagaimanapun, jelasnya, bekas Perdana Menteri itu kekal menjadi kuasa politik yang berpengaruh dengan merancang kejatuhan kerajaan PH.

Dakwanya, Najib merupakan orang di belakang cybertroop dan orang yang melakukan propaganda untuk menjatuhkan kerajaan PH dengan menggunakan media sosial dan politik penipuan yang mencetuskan kebencian, tanpa toleransi dan ekstremis. – Malaysia