Joko Widodo. foto Reuters

JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) diumumkan memenangi Pilihan Raya Presiden Indonesia 2019, untuk kekal memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi tempoh 2019-2024.

Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada pukul 1.46 pagi ini (waktu Indonesia Barat) mengumumkan keputusan Pilihan Raya Presiden 2019 (Pilpres 2019), sehari lebih awal, selepas proses pengiraan undi di 813,350 Tempat Pembuangan Suara atau pusat pengundian, selesai 11.30 malam, Isnin.

Jokowi, 57, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala pencabarnya, Prabowo Subianto, 67, dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

Majoriti 16.95 juta yang diperolehi Jokowi itu lebih tinggi berbanding Pilpres 2014 iaitu 6.4 juta undi.

Jokowi memenangi Pilpres 2014, ketika itu berpasangan dengan Jusuf Kalla mengalahkan Prabowo yang berpasangan dengan Hatta Rajasa.

Ketua KPU Arief Budiman meminta pihak yang tidak berpuas hati agar memfailkan petisyen mencabar keputusan itu di Mahkamah Konstitusi.

“Perlu difailkan dalam tempoh tiga hari selepas pengumuman ini, jika tiada, kami akan mengumumkan kemenangan mutlak kepada calon yang menang ini.

“Jika ada, kami perlu menunggu proses pengadilan Mahkamah Konstitusi selesai. Majlis mengangkat sumpah Presiden Indonesia untuk tempoh 2019-2024 dijadual pada 20 Okt 2019,” katanya.

KPU sebelum ini menjangkakan proses pengiraan undi di 34 provinsi itu selesai pada Rabu ini.

Pilpres 2019 diadakan pada 17 April lepas. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast