LONDON – Manchester United dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan perjanjian bernilai £15 juta (RM79.8 juta) untuk mendapatkan pemain sayap Swansea City, Daniel James.
Menurut SkySport, persetujuan sudah dimeterai antara kedua-dua kelab ketika pengurus, Ole Gunnar Solskjaer merancangkan membangunkan semula skuad untuk tempoh masa panjang.
United menjadi kelab pilihan yang berminat menandatangani pemain sayap antarabangsa Wales berusia 21 tahun itu sejak awal bulan ini.
Sebelum ini Brighton, Everton dan Newcastle United turut berminat untuk mendapatkan James.
Bagaimanapun United menawarkan tawaran yuran dan gaji paling menarik.
James berjaya menarik perhatian United selepas mengharungi kempen hebat di Swansea, membuat 38 penampilan, menyumbat lima gol dan melakukan 10 bantuan gol.
Dia turut memecah masuk ke dalam skuad utama Wales pada musim ini, beraksi dua kali untuk pasukan bekas pemain sayap United, Ryan Giggs itu dan menghasilkan gol dalam penampilan sulung menentang Slovakia.
James boleh beraksi di kedua-dua posisi sayap selain di tengah, namun United merasakan dia lebih selesa sebagai pemain sayap kanan . – MalaysiaGazette