Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.
Suspek berusia 56 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM pada 10.40 malam semalam.
Menurut sumber, hasil siasatan SPRM mendapati, jumlah suapan tersebut dipercayai telah diseleweng daripada peruntukan projek bernilai lebih RM 7.5 bilion daripada kerajaan.
Katanya siasatan tersebut membabitkan pembekalan kereta perisai AV8 bernilai RM7.5 billion dan kereta perisai AV4 bernilai RM155 juta.
Suspek merupakan individu kedua yang dipanggil selepas bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat sama hadir membantu siasatan pada 20 Mei.
Pada Isnin, seorang pemilik syarikat bergelar Datuk Seri direman selama empat hari selepas dipercayai memberi suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal itu kepada orang-orang tertentu.
Selain beliau, turut dipanggil SPRM iaitu seorang bekas CEO berusia 50-an bagi membantu siasatan pada 20 Mei.
Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret di sini dengan memakai baju lokap SPRM dan tangan bergari kira-kira pukul 10 pagi dengan diiringi beberapa orang pegawai suruhanjaya itu. – MalaysiaGazette