PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sokongan terhadap perjuangan Palestin merupakan satu tanggungjawab moral, dan Malaysia akan kekal dengan pendiriannya mengecam keganasan Israel terhadap rakyat Palestin.

Dr Mahathir mengulangi komitmen terhadap perjuangan Palestin dan berkata Malaysia sentiasa akan berdiri teguh di belakang rakyat negara itu.

“Kita tidak akan berdiam diri selagi mana kita melihat keganasan dan ketidakadilan rejim Israel,” katanya pada Majlis Utama Iftar kesembilan bersama dengan komuniti Palestin di Malaysia, anjuran Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) di sini malam ini.

Beliau berkata kebanyakan rakyat Malaysia sedar dengan penderitaan rakyat Palestin dan turut mengambil bahagian dalam usaha mengetengahkan perjuangan rakyat negara itu di platform antarabangsa.

“Rakyat Malaysia turut bersama dengan mereka yang sependapat dari serata negara di seluruh dunia memprotes kekejaman Israel. Rakyat Malaysia menyertai flotila dan konvoi darat untuk memecahkan pengepungan di Gaza, di samping menyertai lain-lain protes, semuanya dalam usaha mengingatkan komuniti antarabangsa mengenai nasib rakyat Palestin.

“Kebanyakan usaha ini belum membuahkan hasil yang memadai – namun ia telah menjadi peringatan kepada rejim Israel dan negara-negara besar yang menyokongnya, bahawa kita tidak akan menutup mata terhadap ketidakadilan yang ketara ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata Malaysia juga tidak akan berdiam diri terhadap hipokrasi negara-negara asing dalam urusan mereka dengan negara Palestin, dan juga sokongan mereka yang berterusan terhadap jenayah kemanusiaan yang diamalkan Israel.

“Saya sudah berulang kali katakan sebelum ini, satu-satunya peluang untuk mencapai keamanan di dunia ini adalah dengan menyelesaikan isu berkaitan Palestin,” katanya.

“Bagi menyelesaikannya, komuniti antarabangsa perlu mencari penyelesaikan kepada masalah rakyat Palestin yang menjadi pelarian di tanah air sendiri, mengembalikan tanah-tanah yang dirampas Israel secara tidak sah, hentikan penaklukan dan pembunuhan oleh tentera Israel, dan benarkanlah rakyat Palestin kembali ke tanah air mereka,” katanya.

Dr Mahathir berkata selagi isu itu tidak diselesaikan, dan rakyat Palestin tidak diberikan keadilan, rantau Timur Tengah akan terus berada dalam konflik, yang melahirkan keganasan serta gerakan militan, yang akan merebak ke serata dunia.

“Keganasan dan gerakan militan berpunca daripada keganasan negara yang dilakukan oleh Israel, kenyataan yang sengaja tidak diendahkan atau diketepikan oleh negara kuasa besar barat,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata hari ini juga negara yang bertanggungjawab mewujudkan Israel, masih membawa kerosakan dengan menghadiahkan Jerusalem kepada Israel dengan mengisytiharkan kota itu sebagai ibu negeri Israel.

“Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia setiap hari. Penempatan israel dibina setiap hari dan rakyat Palestin dinafikan akses kepada tanah mereka sendiri,” katanya.

Dr Mahathir berkata PCOM komited kepada perjuangan bagi membebaskan Palestin, dan hari ini ia memainkan peranan penting dalam membina persefahaman merentasi sempadan antara Palestin dan Malaysia, meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu Palestin, mengajak para pegawai dan parti-parti politik Malaysia untuk mengembleng sokongan politik terhadap perjuangan menuntut hak-hak rakyat Palestin.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast