JAKARTA – Kerajaan Indonesia menyekat fungsi laman media sosial seperti Facebook dan Whatsapp buat sementara waktu susulan insiden rusuhan yang berlaku di negara tersebut ketika ini.
Memetik laporan sebuah laman portal, Menteri Penyelaras Sektor Politik, Undang-Undang dan Keselamatan Indonesia, Wiranto berkata, keputusan menyekat media sosial bertujuan menghalang penyebaran berita palsu dan khabar angin daripada terus berlaku.
Katanya, ekoran rusuhan terbabit, kerajaan Indonesia terpaksa menempatkan lebih 40,000 anggota keselamatan di sekitar ibu kota Jakarta bagi mengawal keadaan yang semakin huru-hara.
Terdahulu, ekoran kejadian rusuhan itu sebahagian besar premis perniagaan, pejabat dan stesen kereta api terpaksa ditutup.
Rusuhan itu tercetus akibat protes daripada penyokong calon yang tewas pada Pilpres 2019, Prabowo Subianto yang tidak berpuas hati dengan pengumuman kemenangan Joko Widodo atau Jokowi dalam pemilihan presiden pada 17 April lalu. – MalaysiaGazette