Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran agar menimbang untuk menggubal akta bagi menghalang tuduhan dan menimbulkan kebencian agama serta kaum di negara ini.

Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berpendapat, kebebasan bersuara di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat telah disalahguna oleh sesetengah pihak untuk menyemai kebencian terhadap kerajaan ketika ini.

Malah, peluang membuka pintu kepada rakyat untuk memberikan pandangan sihat serta digunakan oleh pihak tertentu untuk memburukkan kerajaan sedia ada.

“Selepas setahun kerajaan PH membenarkan lebih keterbukaan dalam media, ianya kelihatan makin banyak disalah gunakan.

“Malaysia baru sahaja mengimbas kembali 50 tahun ulang tahun peristiwa rusuhan hitam tragedi ’13 May’. Sudah tentu kita tidak patut membenarkan suasana yang boleh menjurus ke arah suasana tersebut wujud semula di negara kita .

“Malangnya beberapa hari selepas tarikh 13 Mei, ISMA telah memburukkan nama kerajaan PH dengan membuat tuduhan sensitif “Islam di buli” melalui isu stem Pos Malaysia yang mempunyai gambar Gereja,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Raja Kamarul Bahrin berkata, jika kerajaan tidak mengawal perkara itu dengan undang-undang kebarangkalian Malaysia akan menjadi Indonesia dan New Zealand apabila kemarahan dan kebencian disebarkan pula melalui media sosial hingga boleh mencetuskan rusuhan.

Katanya lagi, apa jua kebebasan perlu digunakan dengan penuh tanggungjawab serta kematangan dan tidak ada kebebasan mutlak tanpa batasan yang boleh dibenarkan untuk memporak perandakan negara.

“Keganasan yang berlaku di jalanan di Indonesia kerana isu politik selepas pilihanraya umum adalah contoh yang patut diambil iktibar.

“Pihak berkuasa Indonesia terpaksa menyekat sebahagian dari sistem sosial media selepas enam orang telah terbunuh dan beratus cedera dalam rusuhan.

“Isu sensitif yang menimbulkan kemarahan dan kebencian yang di sebarkan melalui sosial media telah mencetus rusuhan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Raja Kamarul Bahrin berkata, negara-negara barat yang terkenal dengan kebebasan yang luas telah sedar bahaya yang melanda kesan salahguna media yang boleh mencetus keganasan dan kekacauan.

Jelasnya, sesuatu perlu dilakukan sebelum ia menjadi lebih parah.

“Dunia antarabangsa telah bergerak kearah itu dan demi menjaga ketenteraman dan keamanan negara berbilang agama dan bangsa seperti Malaysia, memang wajar pertimbangan serius di beri ke arah itu,” jelasnya. – MalaysiaGazette