SEPANG – Malaysia Airports dengan kerjasama Kastam Diraja Malaysia (KDM) melaksanakan inisiatif penstrukturan semula aliran pergerakan penumpang di balai ketibaan antarabangsa.
Inisiatif di Terminal Utama Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) bermula hari ini dan klia pada 1 Jun ini.
Penstrukturan itu membabitkan penggunaan empat mesin pengimbas serta pewujudan enam laluan keluar bagi para penumpang berbanding satu laluan sebelumnya.
Inisiatif ini akan mengurangkan kadar kesesakan dan juga meningkat tahap keselamatan negara semasa proses deklarasi barangan yang dibawa masuk ke dalam negara kepada pihak kastam.
Kesesakan di balai ketibaan ini dijangka berkurangan dengan penggunaan empat mesin pengimbas serta pewujudan enam laluan keluar bagi para penumpang berbanding satu laluan sebelumnya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malaysia Airports, Raja Azmi Raja Nazuddin, inisiatif ini timbul ekoran Mesyuarat KLIA One Stop Centre yang melibatkan agensi-agensi di KLIA yang antara lainnya membincangkan isu-isu yang boleh meningkatkan tahap perkhidmatan di KLIA, selain persediaan bagi Tahun Melawat Malaysia 2020.
Katanya, menjelang l Disember 2019, empat unit mesin pengimbas ini akan ditambah menjadi sembilan unit kesemuanya bagi mencapai matlamat 100 peratus penggunaan mesin pengimbas.
Buat masa ini, pihak Malaysia Airports telahpun memasang beberapa struktur fizikal seperti penghadang di kawasan pemeriksaan kastam bagi melancarkan proses penstrukturan semula aliran pergerakan ini dijalankan. – MalaysiaGazette