KOTA KINABALU – Persatuan Kebajikan dan Pendidikan Kadazandusun Murut Sabah (Pekadin) mengesyorkan agar kerajaan Sabah mengikut jejak langkah Sarawak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran dan pembelajaran subjek Matematik dan Sains.

Naib Presiden Pekadin, Simon Malubi berkata, langkah itu penting bagi memperkasa pembangunan sumber tenaga manusia untuk mencapai taraf negara maju, sekali gus dapat bersaing dalam era globalisasi.

Beliau berkata, tidak dinafikan sains dan matematik merupakan bidang yang menjadi asas dan berperanan penting dalam kemajuan dan pembangunan sesebuah negara.

Selain itu, katanya bahasa Inggeris merupakan bahasa hubungan antarabangsa dan penguasaan dalam bahasa ini memudahkan perolehan ilmu dalam bidang itu.

“Apa yang jelas ialah maklumat mengenai inovasi dan penemuan baharu bidang matematik dan sains banyak terdapat dalam bahasa Inggeris.

“Oleh itu, Pekadin berpendapat adalah wajar kerajaan Sabah menimbang untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran matematik dan sains demi kebaikan semua,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Simon menyifatkan keputusan kerajaan Sarawak menggunakan bahasa Inggeris dalam dua mata pelajaran itu sebagai tepat pada masanya dan wajar disokong oleh rakyat termasuk di Sabah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963.

Pada 5 Mei lepas, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, Sarawak akan melaksanakan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Matematik dan Sains mulai 1 Januari tahun depan.

Michael berkata, usaha itu akan dimulakan dengan darjah satu, sebelum beralih ke sekolah menengah.

Simon yakin pimpinan kerajaan Sabah yang berpandangan jauh, terutama Kementerian Pelajaran Dan Inovasi, akan melakukan sesuatu ke arah merealisasikan reformasi dalam bidang pendidikan di negeri ini. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast