KUALA LUMPUR – Sempena bulan Ramadan pelbagai cara dilakukan meraih berkat dan salah satunya menyatuni anak-anak yatim.
Selain berbuka puasa bersama, memberikan wang raya dan bantuan ada juga yang menceriakan mereka dengan pelbagai cara.
Tidak terkecuali usaha murni Persatuan Penduduk Taman Kencana di sini yang meraikan anak-anak yatim Pondok Raudhah Batu 11 Gombak di Surau Nurul Iman di kawasan mereka hari ini.
Selain diraikan dengan majlis berbuka puasa, kira-kira 40 kanak-kanak di rumah anak yatim yang diasaskan Ustaz Mokhtaruddin itu juga dihiburkan dengan persembahan badut.
Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kencana, Mohamad Zoolkefli Hanafiah berkata, selain itu, anak-anak yatim itu juga dihidangkan dengan bubur chacha istimewa buah tangan penduduk di kawasan berkenaan.
Selain itu, katanya, mereka juga disumbangkan dengan beras sumbangan penduduk dan orang ramai.- MalaysiaGazette